Malaysia – Turki meterai 7 dokumen perkukuh kerjasama strategik 2 hala

Malaysia – Turki meterai 7 dokumen perkukuh kerjasama strategik 2 hala

Antara dokumen yang ditandatangani ialah Deklarasi Bersama Mengenai Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman di antara Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turki Erol Ozvar (berdiri kanan) sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Turki. (Gambar Bernama)
ANKARA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang keutamaan.

Pemeteraian dokumen berkenaan disempurnakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Turki atas jemputan Erdogan yang bermula semalam.

Antara dokumen yang ditandatangani ialah Deklarasi Bersama Mengenai Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLCSS).

Selain itu, Surat Niat (LoA) perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 turut dimeterai antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard.

Dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Turki memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).

Dalam bidang penyelidikan dan pemikiran strategik, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) memeterai MoU Kerjasama Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Kerjasama kewangan dan pelaburan Malaysia dan Turki pula diperkasakan menerusi pemeteraian MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank serta MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Invest Turki.

Kedua-dua negara turut bertukar Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Turki.

Pemeteraian keseluruhan dokumen berkenaan mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Turki untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.