BN umum calon PRK Pujut selepas Gawai

johari-sarawak-pujut1KUCHING: Barisan Nasional negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membuat keputusan mengenai calon dan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.

Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg yang juga pengerusi BN negeri berkata, gabungan itu tidak tergesa-gesa berbuat demikian, memandangkan ia akan mengumumkan calonnya selepas sambutan Gawai akan datang.

“BN dijangka memenangi pilihan raya kecil itu,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas hari ini menetapkan PRK DUN Pujut diadakan 4 Julai, manakala penamaan calon pada 20 Jun ini.

PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai adun oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lepas.

DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai adun Pujut selepas usul dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh merangkap presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang beliau mempunyai 2 kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 adun, manakala 10 yang lain membantah.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-11 Mei 2016, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan 3 calon lain, iaitu Datuk Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, parti itu bersedia untuk PRK itu.

Beliau percaya kerusi itu adalah kerusi tradisional BN yang diperuntukkan kepada SUPP, dan akan diberikan kepada partinya berdasarkan semangat dan konsensus BN.

“Kami menyambut baik mana-mana calon yang mendakwa dia adalah calon lebih kuat berbanding kami. Namun, dia perlu menyertai kami jika dia adalah anggota komponen lain atau parti mesra BN (dan) dia perlu keluar daripada partinya untuk bertanding.

“PRK ini tidak dijangka. Ia adalah mengenai calon yang mempunyai integriti dan keikhlasan. Tempoh berkempen juga luar biasa bagi negeri ini kerana ia diadakan semasa bulan puasa, tetapi kami bersedia.”

Katanya, parti itu mempunyai beberapa calon yang dibentuk untuk pilihan raya peringkat Parlimen dan seorang daripada mereka boleh bertanding di Pujut.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada sidang akhbar selepas itu berkata, PRK itu tidak adil kepada partinya kerana Mahkamah Petisyen Pilihan Raya menolak petisyen yang dikemukakan UPP selepas PRN.

Beliau menuduh BN menggunakan kuasanya dalam persidangan untuk menafikan hak 8,899 pengundi yang menyokong Dr Ting yang didakwanya menjalankan tugas dengan baik dalam berkhidmat kepada pengundi.

Bagaimanapun, katanya, DAP akan mengambil bahagian dalam PRK itu dan akan bermesyuarat tidak lama lagi mengenai calonnya dan pasukan peguam parti itu akan terus berjuang terhadap kehilangan kelayakan Dr Ting.

SPR umum 4 Julai tarikh PRK Pujut

Adun DAP lucut kelayakan akibat miliki kerakyatan Australia