Kalau kalah PRU14, tiada siapa boleh jadi PM, kata Dr Mahathir

Tun-MahathirPUTRAJAYA: Tidak ada gunanya membincangkan soal siapa yang akan menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan jika mereka tidak mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkara utama adalah memenangi pilihan raya. Kalau kita kalah, tiada siapa pun boleh jadi perdana menteri.

“Selepas menang pun, kita tidak boleh mengangkat mana-mana orang melainkan dipersetujui semua pihak…Kita tidak boleh menggunakan kehendak 1 parti sebagai kehendak gabungan,” katanya dalam wawancara bersama FMT di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Ditanya jika beliau sanggup memegang jawatan nombor 1 itu sehingga Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk memilih seorang calon perdana menteri, beliau memetik kata-kata William Shakespear “much virtue in ‘if'” yang bermaksud banyak kebaikan dalam perkataan “jika”.

“Kalau macam-macamlah. Kalau tiada siapa dan tinggal saya terkontang-kanting di situ, tiada orang lain dah, semua orang sudah lenyap…terpaksalah…kalau.

“Tapi ‘kalau’ tu tak akan berlaku,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, Pakatan Harapan perlu mematuhi undang-undang negara, jika bertegas memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas memenangi PRU14, memandangkan ketua umum PKR itu masih dipenjarakan.

“Kita mesti patuh kepada undang-undang. Kita berjuang untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi, jika (selepas) berkuasa kita tidak mematuhinya, apa hak kita untuk menegur orang lain yang tidak mengikut undang-undang?” soalnya.

PRU14 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2018, tetapi Anwar masih menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, sejak Mac 2014, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Ketika menghadiri Kongres PKR ke-12 selaku pengerusi PPBM semalam, Dr Mahathir melihat ratusan ahli PKR mengangkat sepanduk menyatakan Anwar sebagai perdana menteri ke-7.

Dr Mahathir Mohamad berkongsi rakaman yang sempat dirakamnya ketika menghadiri Kongres PKR semalam.
Dr Mahathir Mohamad berkongsi rakaman yang sempat dirakamnya ketika menghadiri Kongres PKR semalam.

Ia merupakan mesej jelas disampaikan parti diketuai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu yang mereka tidak akan berganjak daripada pendirian menjadikan Anwar sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang.

Dr Mahathir berkata, selaku tetamu, beliau perlu menghormati tuan rumah acara semalam. Beliau juga sempat menunjukkan rakaman keriuhan semalam yang diambilnya melalui telefonnya kepada FMT.

“Kami hadir sebagai tetamu, dari parti lain. Jadi bila acara itu diadakan, ia mencerminkan kehendak PKR. (Tetapi) kita tidak bolehlah dipaksa mengikuti kehendak PKR.

“Pakatan pun belum didaftarkan, belum ada simbol. Selepas berdaftar dan kita tersusun rapi dan rapatkan hubungan, pada masa itu kita duduk berbincang. Bukan (calon perdana menteri mengikut) PPBM atau DAP, tetapi Pakatan Harapan,” katanya.

Pada kongres semalam, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika pemecatan Anwar daripada kerajaan pada 1998 dan pemenjaraannya untuk kali pertama, turut menandatangani petisyen “bebaskan Anwar”.

‘Saya sudah tua’

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya tidak mahu bertanding pada PRU14 dan tidak akan menjadi perdana menteri lagi.

“Saya sudah usang, sudah tua,” kata lelaki berusia 91 tahun itu yang kali terakhir bertanding di PRU12 pada 1999 di Kubang Pasu – kerusi dipegangnya selama 30 tahun.

Katanya, beliau kini aktif di pentas politik pembangkang hanya kerana “mahu negara ditadbir orang berkebolehan, bukannya penipu dan pencuri”.

“Sebab itu walau dah tua, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk baiki keadaan negara ini. (Tetapi untuk menjadi calon) Tak adalah, sudah habis,” katanya.

Pada 8 Mei lalu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan Dr Mahathir sebagai calon paling sesuai memegang jawatan perdana menteri bagi menjamin kestabilan politik jika berlaku pertukaran kerajaan.

Zaid yang menyertai DAP pada Februari lalu bagaimanapun berkata, terpulang kepada Dr Mahathir untuk menerima pelawaan kembali memegang jawatan perdana menteri.

“Dengan penglibatan Dr Mahathir, kita kini ada calon perdana menteri yang serius, sekiranya beliau mahu,” kata Zaid yang mendakwa orang Melayu semakin mendekati Pakatan Harapan disebabkan penglibatan Dr Mahathir.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/08/zaid-dr-mahathir-layak-jadi-pm-kalau-dia-mahu/