
“Kita dah panggil mereka (Shell) semalam dan kita akan buat pengumuman (bentuk tindakan). Minggu ini kita akan pastikan keputusan akan dilakukan,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sidang media selepas pelancaran kempen #janganlebihlebih sempena Ramadan dan musim perayaan di kementeriannya, hari ini.
Jumaat lalu, Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya akan menemui pengurusan Shell pada Isnin berhubung laporan pengguna dicaj RM4.09 untuk seliter RON95.
Katanya, pertemuan itu akan diadakan di kementeriannya bagi membolehkan Shell mengemukakan surat tunjuk sebab dan membuktikan masalah teknikal yang didakwa menjadi punca perkara itu berlaku.
Kementerian itu juga akan mengadakan siasatan sendiri bagi menentukan jika ia berpunca daripada masalah teknikal atau perbuatan sengaja.
Isu itu tersebar luas di media sosial minggu lalu selepas seorang pelanggan yang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang pada tengah malam Rabu lalu, memuat naik gambar resit menunjukkan RON95 dicaj RM4.09 seliter.
Sementara itu, Shell memberitahu FMT kesilapan harga RM4.09 selama sejam setengah pada awal pagi Khamis lalu membabitkan 160 transaksi dan berjanji memulangkan lebihan wang yang dibayar pelanggan.