
Kerajaan negeri boleh menjana keuntungan daripada faedah di samping pingiktirafan kewangan antarabangsa, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.
Pulau Pinang mengumumkan rancangan untuk mendapatkan pinjaman dari bank milik kerajaan China untuk memulakan projek Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PIP) yang bernilai RM27 bilion.
PIP bakal melibatkan pembinaan jalan raya, transit aliran ringan dan mod pengangkutan lain di negeri itu. Projek itu akan dibiayai oleh tebus guna pulau di selatan Pulau Pinang.
Lim berkata selepas meminjam wang dari China, kerajaan negeri berhasrat untuk menawarkan pinjaman penyambung yang kecil kepada rakan pelaksana projek PIP, SRS Consortium.
Lim berkata Pulau Pinang akan meminjam dari China pada kadar faedah rendah, “mungkin pada 1% hingga 2%”.
Beliau berkata Pulau Pinang boleh menghasilkan keuntungan dengan mengenakan feadah “mungkin 1% atau 2%” ke atas pinjaman penyambung kepada konsortium itu.
“Kita boleh jangka menghasilkan wang daripada kebezaan faedah itu.”
Lim berkata wang yang ingin dipinjam dari China bukan pada jumlah yang besar, “bukan RM1 bilion”, kerana kerajaan persekutuan hanya membenarkan tempoh bayaran 5 tahun untuk pinjaman yang dibuat kerajaan negeri.
“Ini akan meningkatkan reputasi kita di peringkat antarabangsa kerana kami diberi pinjaman pada kadar faedah yang rendah.
“Kalau ini bukan sesuatu yang baik, mengapa perdana menteri menjawab pertanyaan saya?”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menulis kepada Lim pada 31 Mei tahun lepas, berkata ia akan membenarkan Pulau Pinang membuat pinjaman dari China hanya jika Majlis Kewangan Negara, yang dipengerusikan beliau selaku menteri kewangan, mengizinkan pinjaman itu.
Najib menasihatkan Pulau Pinang meluluskan undang-undang di Dewan Undangan Negeri yang akan membolehkannya membuat pinjaman dari bank atau institusi kewangan.
Undang-undang itu diluluskan Khamis lepas dan sama dengan undang-undang di Pahang.
Kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman dengan Exim Bank of China pada 16 Disember 2014 untuk membenarkan Pulau Pinang meminjam wang dari mereka.
Lim berkata pinjaman itu keputusan kewangan yang bijak kerana ia “mengoptimumkan campuran kewangan negeri.”
Beliau berkata dalam kewangan korporat, syarikat mahukan penggearan nisbah. Katanya penggeran nisbah Pulau Pinang adalah “0%” kerana negeri menanggung hutang terendah di negara ini iaitu sebanyak RM64 juta.
“Jika kamu tiada pinjaman, cuma ekuiti, maka kamu tidak memaksimumkan atau mengoptimumkan campuran kewangan kamu.
“Kerana apabila kamu meminjam wang kamu ada modal dan dalam masa yang sama kamu boleh tuntut pengurangan cukai.
“Sekiranya kamu melihat negeri ini sebagai sebuah syarikat, kita sebuah negeri yang mempunyai nisbah penggearan sifar. Itu bermakna kita tidak mengoptimumkan sumber kewangan kita.
“Jadi ini langkah yang wajar dari segi kewangan. Kamu tidak perlu jadi seorang akauntan; apabila sebuah negara seperti China beri kamu pinjaman, orang ramai akan perasan dan beri rating AAA kepada kamu.
“Ia akan meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan yang baik,” katanya.