Lantikan politik PKR di Kelantan masih kekal

Ahmad-Yako-pkrSHAH ALAM: Walaupun PKR mengarahkan kesemua lantikan politikya di dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan serta-merta susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik tetapi sehingga tiada yang berbuat demikian.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini lantikan politik yang diberikan kepada PKR berjalan seperti biasa.

“Mereka tidak letak apa-apa jawatan dan setakat ini berlaku (keadaan) seperti biasa. Satu persefahaman yang di luar daripada apa yang kita fikirkan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bulan lalu, PKR mengarahkan semua lantikan politiknya dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan serta-merta.

Tindakan itu diambil susulan keputusan PAS mengakhiri tahaluf sitasi dengan PKR sebagaimana diumumkan parti Islam itu selepas Majlis Syura PAS membuat ketetapan.

Dalam pada itu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR kerusi Guchil, Mohd Roslan Puteh ketika ditemui pemberita mengesahkan sehingga kini lantikan politik seperti ahli majlis, penghulu dan penyelia dari PKR belum lagi meletakkan jawatan.

“Kerana masih di peringkat berunding antara pimpinan negeri Kelantan dan pusat walaupun ada uar-uar letak jawatan tapi surat rasmi yang saya tahu belum dihantar,” katanya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pihaknya juga sehingga kini masih lagi menerima peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Tidak berkurang walaupun satu sen sama sepertimana Adun lain yang diwakili oleh PAS.

“Kalau kata kerajaan negeri menganaktirikan PKR itu adalah satu berita di kedai kopi. Sehingga ke hari ini kami menerima peruntukan tidak dipotong walau satu sen,” katanya.