
SPR Kelantan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara itu.
Dipetik BH Online, jurucakap SPR Kelantan berkata, surat itu memaklumkan Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, wakil rakyat Barisan Nasional (BN), telah hilang kelayakan disebabkan muflis.
“Apa pun bergantung kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya memandangkan kita baharu saja memaklumkan surat itu kepada mereka,” kata sumber itu.
Pilihan raya kecil hanya boleh diadakan sebelum tempoh matang 3 tahun dari tarikh pilihan raya umum lalu.
“Jika lebih 3 tahun, keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil bergantung kepada speaker,” katanya.
Minggu lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong berikutan penyandangnya muflis.
Abdullah berkata, beliau menerima surat pemakluman daripada Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Selangor pada 28 Mei lepas yang memaklumkan Mat Yusoff muflis.
Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan seseorang yang muflis dan masih belum diselesaikan tidak layak menjadi anggota Dewan (Undangan) Negeri (Kelantan).
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Mat Yusoff menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohammad Azihan Che Seman dan calon Bebas Abdul Aziz Mohamed dengan majoriti 3,849 undi.
Abdullah berkata pihaknya dimaklumkan Jabatan Insolvensi bahawa Mat Yusoff dikenakan hukuman kebankrapan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 November 2016 atas permohonan sebuah bank dan jabatan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya hanya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi berhubung perkara berkenaan pada 28 Mei lepas manakala daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan pada 21 Mei lalu.