
Tetapi kini, butiran mengenai ahli perniagaan Bustari Yusof mulai muncul, dan kedudukannya dalam kumpulan Najib dikatakan sukar ditandingi.
Menurut akhbar Singapura, The Straits Times (ST), Bustari yang berkhidmat sebagai penasihat politik kanan, penyelesai masalah dan penasihat ekonomi, secara mudah boleh dianggap salah seorang “rakan karib” Najib.
Bustari pertama kali bertemu Najib pada 1980-an melalui isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Pada masa itu, kedua-dua mereka merupakan rakan sekerja di firma pembangunan hartanah Island & Peninsular.
Pada 1987, ahli perniagaan Sarawak itu menyokong ketua menteri ketika itu, Tun Taib Mahmud, dan kemenangan Taib dalam pergelutan merebut kepimpinan negeri membuka laluan untuknya.
Laporan yang memetik beberapa ahli politik itu berkata, Bustari mengekalkan hubungan rapat dengan Najib dan mula menceburi politik peringkat nasional selepas 2009, apabila Najib menjadi perdana menteri.
Laporan itu menambah Najib sering mendapat manfaat daripada jaringan politik Bustari yang kuat di Sarawak, penting dalam mengekalkan cengkaman BN ke atas kekuasaan di negara ini.
“Beliau satu-satunya orang dalam kumpulan itu yang menceburi perniagaan dan politik, dan apa yang keluar dari mulutnya penting buat PM,” kata seorang ahli perniagaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan rapat dengan golongan elit politik kepada akhbar Singapura itu.
Seorang lagi sumber, seorang ketua eksekutif di sebuah bank komersial yang dikawal kerajaan, memberitahu ST yang Bustari kerap bermain golf dengan Najib dan sering bercuti bersama keluarga perdana menteri.
Tetapi tidak semuanya santai dan menyeronokkan untuk “orang kanan” Najib ini. ST memetik sumber yang mengatakan perdana menteri akan menghantar Bustari jika beliau mahu menyampaikan suatu mesej.
Merujuk kepada keputusan kerajaan bulan lepas untuk membatalkan kontrak Iskandar Waterfront Holdings (IWH) untuk membangunkan projek Bandar Malaysia, seorang yang rapat dengan Najib berkata Bustari dihantar untuk “menasihati” Pengarah IWH Lim Kang Hoo, yang cuba merundingkan suatu pusingan-U dalam isu itu.
“Hakikatnya apabila mesej itu dihantar Bustari ia menunjukkan PM sangat serius dengan amarannya kepada Lim bahawa beliau akan disingkirkan jika tidak mahu meletak jawatan,” kata sumber itu sebagai berkata.
Bustari, yang mempunyai kepentingan dalam sektor pembinaan, penjagaan kesihatan dan penerokaan minyak dan gas, adalah pengerusi di syarikat pelaburan OBYU Holdings Sdn Bhd. Syarikat itu terbabit dalam hartanah, pembinaan, perladangan dan telekomunikasi.
Pada 2009, beliau membeli 30% pegangan di Petra Energy Bhd. Pada masa itu, beliau dilaporkan memegang 27.5% kepentingan di syarikat tersebut melalui Shorefield Resources Sdn Bhd.
Metrocare Services Sdn Bhd milik Bustari mempunyai 60% pegangan di One Medicare Sdn Bhd, yang memiliki konsesi untuk mengendali dan mengurus perkhidmatan sokongan hospital di Sarawak untuk tempoh 10 tahun.
Menurut ST, kepentingan korporat Bustari juga dijangka memainkan peranan dalam Pan Borneo Highway bernilai RM27 bilion, yang dijangka siap penghujung 2021.
Laporan itu memetik beberapa eksekutif dalam industri pembinaan yang berkata salah satu cara untuk mendapatkan kontrak untuk lebuh raya sepanjang 1,089km itu adalah menjalin hubungan dengan pihak yang mempunyai kaitan dengan Bustari.