Isu FGV: Selepas SPRM, Idris Jala ke ibu pejabat Felda

Isu FGV: Selepas SPRM, Idris Jala ke ibu pejabat Felda

Idris Jala berkata, beliau sedang mengumpul fakta dan tidak mahu keluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan prejudis.

idris-jala
KUALA LUMPUR: Selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kini giliran Datuk Seri Idris Jala ke Menara Felda di Persiaran KLCC untuk menyiasat isu membabitkan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang baru dilantik sebagai pihak berkecuali untuk mencari penyelesaian bagi kemelut FGV, tiba pada jam 2.34 petang tadi dengan diiringi 5 pegawai polis.

“Saya sedang cuba mengumpul fakta. Ketika ini, saya tidak mahu keluarkan sebarang kenyataan sebab nanti akan jadi prejudis,” katanya selepas turun dengan lif kira-kira 3.45 petang.

Seramai 30 pengamal media berkumpul di lobi Menara Felda sejak 9 pagi tadi bagi mengetahui perkembangan kes itu dan sehingga kini, SPRM masih menjalankan siasatan di ibu pejabat Felda itu.

Lebih 10 pegawai SPRM tiba di Menara Felda berhampiran KLCC, kira-kira 10 pagi tadi untuk mengambil dokumen berkaitan kes FGV.

Selasa lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar juga diminta bercuti.

Susulan itu, kerajaan semalam melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan Zakaria dan 3 pegawai lain, selain meneliti fakta kes itu dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut itu.

 

Isu FGV: SPRM ke Menara Felda ambil dokumen

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.