2 adik PM Singapura bidas abang mereka salah guna kuasa

Lee-Hsien-Loong-Lee-Kuan-YewPETALING JAYA: Dua adik kepada perdana menteri Singapura hari ini mengumumkan mereka hilang kepercayaan kepada Lee Hsien Loong dengan mendakwa abang mereka menyalahgunakan kuasa demi agenda peribadinya.

Kenyataan 6 halaman mereka dimuat naik ke Facebook awal pagi tadi, dan antara lain ia menyatakan kebimbangan mereka dipantau dan diambil tindakan oleh Hsien Loong menggunakan kuasa kerajaan.

Kenyataan itu berkata, tekanan itu menyebabkan Hsien Yang merasakan dirinya dipaksa meninggalkan Singapura demi “masa depan lebih cerah”.

Dua beradik itu antara lain mendakwa sejak bapa mereka meninggal dunia 2 tahun lalu, perubahan di Singapura tidak mencerminkan apa yang diperjuangkan Lee Kuan Yew.

“Sejak pemergian Lee Kuan Yew pada 23 Mac 2015, kami berasa terancam dengan penyalahgunaan kedudukan dan pengaruh Hsien Loong terhadap kerajaan Singapura serta agensinya demi agenda peribadinya.

“Nilai-nilai Lee Kuan Yew dihakis anak lelakinya sendiri. Bapa kami mendahulukan negara dan rakyatnya, bukan populariti atau agenda peribadi.

“Kami berada amat tidak selesa dan dipantau secara dekat dalam negara sendiri. Kami tidak percaya Hsien Loong sebagai seorang abang atau pemimpin. Kami sudah hilang kepercayaan terhadapnya.”

Kenyataan itu dibuat 18 bulan selepas 3 beradik itu mengeluarkan kenyataan bersama pada Disember 2015 untuk menyatakan persetujuan mereka menderma separuh daripada nilai kediaman bapa mereka di 38 Oxley Road kepada badan amal yang disenaraikan dalam notis kematian Kuan Yew.

Dua adik itu berkata, mereka mahu melaksanakan wasiat bapanya untuk merobohkan rumah itu selepas Wei Ling keluar dari rumah berkenaan dan Hsien Loong pada mulanya memaklumkan beliau menarik diri daripada semua keputusan kerajaan bagi menyokong hasrat bapanya.

Hari ini, pertikaian sekali lagi timbul berhubung apa yang didakwa keengganan Hsien Loong memenuhi wasiat ayahnya.

“Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching, membantah hasrat Lee Kuan Yew untuk merobohkan rumahnya, walaupun ketika beliau masih hidup.

“Malah, Hsien Loong dan Ho Ching menyuarakan hasrat berpindah ke rumah itu secepat mungkin selepas pemergian Lee Kuan Yew. Langkah ini akan mengukuhkan mandat diwarisi Hsien Loong untuk diri dan keluarganya.

“Selain itu, jika Hsien Loong tidak tinggal di 38 Oxley Road, pengekalan rumah itu akan meningkatkan modal politiknya,” menurut 2 beradik itu yang merupakan wasi dan pemegang amanah bersama untuk kediaman bekas perdana menteri itu.

Wei Ling dan Hsien Yang turut mendakwa pasangan itu mahu memperalatkan legasi Kuan Yew demi kepentingan politik sendiri.

“Kami juga percaya, berdasarkan interaksi kami, mereka menyimpan impian politik untuk anak mereka, Li Hongyi.”

Dalam reaksinya, Hsien Loong menyatakan kekecewaan dengan 2 adiknya kerana mengumumkan masalah dalaman keluarga.

“Saya amat sedih dengan dakwaan mereka. Ho Ching dan saya menafikan dakwaan ini, khasnya tuduhan tidak masuk akal yang saya mempunyai cita-cita politik untuk anak saya.

“Adik-beradik mungkin mempunyai perbezaan pendapat. Saya percaya perbezaan itu perlu kekal dalam keluarga. Sejak pemergian ayah saya pada Mac 2015, sebagai anak sulung saya cuba yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu dalam keluarga, demi menghormati ibu bapa kami.

“Kenyataan adik-adik saya telah menyakiti legasi bapa kami,” katanya yang kini bercuti bersama keluarga di luar negara dan akan pulang ke tanah air hujung minggu ini.