PH serah senarai pucuk pimpinan kepada RoS sebelum raya

Salahuddin-Ayub_ros_6004

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan senarai jawatan dalam pucuk pimpinan gabungan itu, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, mereka sedang memperkemaskan senarai ahli jawatankuasa dan melakukan sentuhan terakhir ke atas logo PH.

Katanya, mesyuarat akhir akan diadakan minggu depan bagi membincangkan perkara itu dan senarai rasmi pucuk pimpinan PH akan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum sambutan Aidilfitri ini.

“Saya rasa kita cuba adakan mesyuarat ini sebelum hari raya bawa senarai jawatankuasa dan logo. Sekarang ini, kita dah ada struktur jawatankuasa dan sekarang kita nak ‘polish’. Semua orang nak ambil bahagian dalam ‘finishing touch’ di peringkat itu.

“Sebelum ini, kita telah pilih 1 logo, kita nak minta sedikit penyelasaran dari segi reka bentuk dan kalau tidak ada perkara lain, kita akan cuba daftarkan Pakatan Harapan sebelum hari raya ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, semua pemimpin yang menerajui pucuk pimpinan PH itu dipilih berdasarkan persetujuan bersama antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Jumaat lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, senarai kepimpinan PH akan diumum dan didaftarkan kepada RoS selewat-lewatnya minggu ini.

Dalam senarai pucuk pimpinan PH yang tersebar minggu lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan dilantik sebagai pengerusi PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PH.

Dr Azizah dikatakan menjadi timbalan pengerusi PH, sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden, manakala Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden PH.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagaimanapun menafikan bapanya akan dilantik sebagai pengerusi PH dan parti itu mempunyai struktur organisasi berbeza daripada senarai yang tersebar itu.

Mengenai gesaan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan supaya PH berhenti memainkan isu Anwar ialah calon perdana menteri pilihan pakatan itu bagi mengelakkan imej bekas ketua pembangkang itu terjejas, Salahuddin berkata, nama ketua umum PKR itu disebut-sebut kerana jasanya terlalu besar.

“Itu pandangan mana-mana individu, NGO terhadap perkembangan Pakatan Harapan, cuma pandangan itu kita hormati.

“Nama Anwar dicadang berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sejak era reformasi dalam membentuk dan mengukuhkan Pakatan Rakyat ketika itu dan apabila Pakatan Rakyat runtuh, kita bina Pakatan Harapan.”

PH umum pucuk pimpinan paling lewat minggu depan