Lagi aset berkait wang curi 1MDB jadi sasaran pihak berkuasa AS

dojs-1mdb-painting

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat meneruskan tindakannya dengan memfailkan permohonan untuk merampas lebih banyak aset termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hakcipta 2 filem komedi Hollywood, untuk mendapatkan balik sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) wang yang dikaitkan dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

“Wang ini membiayai cara hidup mewah mereka yang terlibat dengan mengorbankan kepentingan rakyat Malaysia,” kata pemangku timbalan peguam negara AS, Kenneth Blanco, dalam kenyataannya.

Permohonan terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) itu berkait dengan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

DoJ dalam siasatannya mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Antara aset yang menjadi sasaran dalam permohonan difailkan di mahkamah California semalam ialah hak cipta kepada 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey, dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell, yang didakwa dibiayai penerbitannya menggunakan berjuta-juta dolar wang milik 1MDB.

Tahun lalu, pihak berkuasa bertindak merampas hasil “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Ketiga-tiga filem itu diterbitkan sebuah syarikat Hollywood yang diketuai anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dalam kenyataannya, syarikat Red Granite berkata ia sedang berunding dengan DoJ untuk mencari penyelesaian dan “sedang memberikan kerjasama penuh”.

Sebelum ini, pihak berkuasa di AS juga menuduh ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, atau Jho Low, memindahkan AS$400 juta daripada 1MDB yang kemudian digunakan untuk pelbagai acara mewah, perjudian, di samping sebuah kapal layar.

Reuters gagal mendapatkan reaksi Low menerusi syarikatnya Jynwel Capital di Hong Kong.

Pihak berkuasa berkata Low menggunakan AS$3.2 juta dari 1MDB untuk membeli sebuah lukisan hasil tangan Picasso untuk dihadiahkan kepada pelakon DiCaprio.

“Leonardo DiCaprio, selamat hari jadi! Ini hadiah untuk anda,” menurut nota dipetik seorang kenalan Low.

Low turut menggunakan AS$9.2 juta membeli hasil seni artis New York, Jean-Michel Basquiat, yang juga dihadiahkan kepada DiCaprio.

Jurucakap DiCaprio dalam kenyataannya semalam berkata pelakon itu sedang memulangkan hadiah itu, termasuk sebuah trofi Oscar yang pernah dimenangi pelakon Marlon Brando yang dihadiahkan kepadanya oleh Red Granite sebagai tanda penghargaan peranan yang dimainkan dalam filem “The Wolf of Wall Street”.