Lagi masalah berkaitan 1MDB untuk Red Granite Pictures?

Lagi masalah berkaitan 1MDB untuk Red Granite Pictures?

Laporan membangkitkan kemungkinan DoJ menyasarkan filem terbaru Red Granite, 'Papillon'.

red-granite
KUALA LUMPUR:
Lebih banyak masalah dijangka melanda Red Granite Pictures membabitkan filem terbarunya, “Papillon”, versi baru filem klasik 1973 mengenai banduan meloloskan diri dari penjara.

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat nampaknya menyasarkan filem yang dibiayai keuntungan dari filem “Wolf of Wall Street” dan filem lain yang dihasilkan Red Granite, yang pada asalnya dikatakan dibiayai wang yang didakwa dicuri dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Red Granite ditubuhkan Riza Aziz dan Joey McFarland.

The Hollywood Reporters (THR) membangkitkan persoalan sama ada “Papillon” juga berdepan nasib “Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.

DoJ memfailkan saman sitaan di mahkamah AS untuk mendapatkan hak ke atas 3 filem itu, yang didakwa dibiayai wang dicuri dari 1MDB.

Bagi versi filem “Papillon” kali ini, Charlie Hunnam dan Rami Malek melakonkan watak yang dilakokan Steve McQueen dan Dustin Hoffman, di bawah arahan Michael Noer.

Filem itu, kini di tahap pasca-produksi, berjaya mendapatkan pengedar antarabangsa tetapi masih mencari pendengar di AS.

THR menyoal: “Adakah DoJ akan menambahkan tuntutan undang-undangnya dengan mendakwa dana 1MDB yang dilencongkan juga disalurkan ke akaun ‘Papillon’?”

Jurucakap DoJ enggan mengulas ketika dihubungi THR.

Hunnam Februari lepas memberitahu THR bahawa beliau sedar skandal sekitar Red Granite sebelum menyertai filem itu. “Apabila saya yakin tiada perkara haram dalam pembiayaan ‘Papillon’, apa yang mereka pernah atau tidak pernah lakukan bukan urusan saya,” katanya.

Bagaimanapun, THR berkata DoJ mendakwa hasil kutipan dari pengedaran “Dumb and Dumber To” digunakan untuk membiaya “Daddy’s Home”. Ia juga dibiayai pinjaman dari Morgan Stanley, yang diperoleh kerana pinjaman terdahulu dengan Bank Union yang “didapatkan dengan hasil kutipan pengedaran yang terhutang kepada Red Granite Pictures dari penerbitan ‘Wolf of Wall Street'”.

THR berkata: “DoJ nampaknya menyasarkan aset yang tiada kaitan langsung dengan dana 1MDB, tetapi aset yang dibiayai keuntungan daripada aset yang berkaitan.”

Ia memberi amaran sekiranya DoJ mendapati pendanaan “Papillon” daripada hasil “Wolf of Wall Street”, “Dumber and Dumber To” atau “Daddy’s Home”, “Papillon” mungkin layak dimasukkan dalam tuntutan rampasan DoJ.

Julai lalu, DoJ memfailkan saman menuntut hak Wolf of Wall Street sebagai sebahagian daripada tuntutan rampasan aset AS$1 bilion (RM4.29 bilion) yang didakwa dibeli dengan wang yang diubah secara haram dari 1MDB.

15 Jun lalu, DoJ memfailkan saman menuntut lebih banyak aset yang dibeli atau dibiayai wang 1MDB. Ini termasuk hak ke atas “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” yang dipegang Red Granite Pictures.

Menurut DoJ, “dana puluhan juta dolar dilencongkan dari 1MDB” digunakan untuk menghasilkan “Dumb and Dumber To”.

DoJ menegaskan wang itu boleh dikesan kepada transye AS$238 juta yang dihantar ke akaun Red Granite yang dipegang Aziz dan juga digunakan untuk membiayai Wolf of Wall Street, sementara AS$21.5 juta dihantar ke akaun “Dumb and Dumber To”.

DoJ mendakwa antara November 2014 dan Jun 2015, “lebih AS$30,000,000 boleh dikesan kepada hasil kutipan yang dilencongkan dari 1MDB” disalurkan ke akaun “Daddy’s Home”.

Menurut THR, untuk sebuah syarikat yang menerjah ke dunia filem pada 2011, filem “Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” secara terkumpul mengaut bawah AS$805 juta seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.