
Dua tahun kemudian, langkah itu belum dilaksanakan. Bagaimanapun polemik mengenai larangan merokok di ruang awam, termasuk restoran berterusan di media sosial – perkembangan yang tidak menghairankan kerana kajian Global Adult Tobacco 2011 menunjukkan majoriti responden mahu semua tempat awam bebas asap.
Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, langkah mewartakan restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok akan dilakukan secara berperingkat.
Setiap tahun, beliau berkata, kerajaan cuba untuk menambah tempat larangan merokok walaupun ada tentangan apabila kerajaan cuba melakukan sesuatu yang baharu.
Beliau menambah, taman-taman dan laluan-laluan tertutup di Wilayah Persekutuan adalah antara tempat terbaharu di mana merokok diharamkan.
“Sesetengah kawasan khas dengan tempat makan terbuka seperti di Rehat dan Rawat (R&R) telah bebas merokok, dengan bantuan pengendali lebuh raya seperti PLUS,” kata Subramaniam sambil menambah, di kawasan seperti itu, mereka yang mahu merokok hanya boleh berbuat demikian di luar ruang itu.
Berkenaan dengan kedai-kedai makan, beliau berkata, kerajaan mahu memastikan larangan merokok di restoran berhawa dingin yang sudah siap sepenuhnya.
Kesan kesihatan dan iltizam politik
Seorang doktor veteran, H Krishna Kumar berkata, kerajaan perlu mengharamkan merokok di restoran-restoran kerana asap peringkat kedua yang berbahaya, terutama kepada golongan muda yang paru-paru mereka belum berkembang sepenuhnya atau mereka berusia yang mungkin menderita penyakit paru-paru.
Krishna yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Kolej Diraja Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi berkata, kebanyakan negara dunia pertama sudah pun mengharamkan merokok di khalayak umum.
Beliau menambah, restoran peru ada kawasan merokok di luar dan bukannya kawasan merokok di dalam premis.
“Di negara-negara yang sejuk, walaupun pada pertengahan musim sejuk, mereka yang mengunjugi pub bersedia untuk melangkah keluar untuk merokok,” katanya kepada FMT.
“Jika orang mahu membunuh diri dengan merokok, itu hak mereka, tetapi mereka tidak sepatutnya membunuh orang lain (bukan perokok).”
Kementerian Kesihatan menganggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit berkaitan asap setiap tahun.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Molly Cheah memberitahu, apa yang diperlukan adalah iltizam politik yang sebenar – yang masih kurang jelas untuk melihat peralihan ke arah kawasan bebas merokok.
“Kerajaan perlu mempunyai kemahuan politik untuk melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat, lakukan apa yang tepat untuk mereka.”
Beliau berkata, Putrajaya baru-baru ini meminda undang-undang untuk mewartakan lebih banyak kawasan sebagai zon bebas asap dan tidak ada alasan mengapa tempat bermakan juga tidak boleh diwartakan sebagai kawasan bebas asap.
Awal tahun ini kerajaan telah mewartakan semua taman kebangsaan dan negeri, taman permainan, tapak perkhemahan dan taman awam di Semenanjung Malaysia sebagai kawasan merokok.
Mereka yang melanggar peraturan itu berhadapan dengan risiko denda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 2 tahun.
“Kajian mencukupi telah dilakukan terhadap kesan asap akibat merokok. Terdapat bukti yang mencukupi supaya tidak ada sebab untuk melarang merokok di restoran,” kata beliau kepada FMT.
Kesan buruk untuk perniagaan
Tetapi pengendali kedai kopi dan restoran masih menentang langkah itu dan mahu cadangan tersebut dikaji dengan mendalam.
Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya (PJCA), Keu Kok Mong berkata, larangan merokok di kedai kopi “pasti akan menjejaskan perniagaan” kerana orang ramai telah merokok di kedai-kedai kopi sejak beberapa dekad lalu.
Banyak kedai kopi di Malaysia tidak mempunyai ruang yang berasingan untuk pelanggan merokok dan tidak merokok.
Beliau menambah, larangan itu juga akan menyebabkan pengendali kedai kopi kehilangan pendapatan tambahan daripada jualan rokok kerana orang kurang cenderung untuk membeli di mana mereka tidak boleh merokok.
T Muthusamy, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) berkongsi sentimen yang sama tetapi memihak untuk mengadakan partisyen untuk memisahkan perokok dan bukan perokok.
“Jika kerajaan meneruskan larangan itu, mereka perlu memberi masa yang mencukupi untuk restoran dan perokok sebelum penguatkuasaan bermula, untuk memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk menyesuaikan diri dengan keputusan itu.”
Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, beliau berharap kajian akan dilakukan sebelum kerajaan melaksanakan sebarang pengharaman merokok di restoran.
“Soal kebaikan dan keburukan dasar sedemikian perlu dilihat terlebih dahulu,” kata Ayoob sambil menambah, jika kerajaan meneruskan langkah itu, tahap kesedaran mesti ditingkatkan sebelum peraturan berkaitan dikuatkuasakan demi mengelak sebarang kekeliruan yang mungkin timbul.
Beliau juga berkata, kawasan merokok di restoran harus dibenarkan untuk memenuhi pelanggan kedua-dua perokok dan bukan perokok.
Langkah mewartakan lebih banyak kawasan sebagai zon bebas rokok adalah salah 1 cara pihak kerajaan cuba mengurangkan penggunaan tembakau di kalangan 5 juta penduduk perokok.
Putrajaya menetapkan matlamat untuk mengurangkan penggunaan tembakau sebanyak 30% menjelang 2025.
Kerajaan sedang mengkaji mengurangkan penggunaan tembakau dengan meningkatkan usia minimum untuk membeli rokok kepada 21 tahun, memperkenalkan pembungkusan biasa untuk rokok dan meningkatkan harga rokok dari RM17 kepada RM21.50 setiap pek.
Afiqah Farieza menyumbang kepada artikel ini.