Azmin: Saya pernah diaudit, tetapi ia tak jadi isu

Azmin-Ali-jabatan-audit-negaraSHAH ALAM: Tidak kira ahli Parlimen atau adun di Selangor, mereka perlu melalui proses pengauditan yang dilakukan kerajaan negeri bagi menjamin ketelusan pejabat masing-masing, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri besar Selangor itu berkata, proses terbabit perlu dihormati dan beliau sendiri yang pernah melaluinya tidak menjadikan ia satu isu.

“Saya dan kerajaan negeri, kita tidak mengganggu proses audit. Kita sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan keterbukaan.

“Sekiranya jabatan audit ingin mengaudit sesiapapun, proses itu harus dipatuhi tanpa gangguan eksekutif dan unsur-unsur politik,” katanya selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang mendesak kerajaan Selangor tidak membekukan peruntukan komunitinya supaya beliau dapat meneruskan program Bulan Kebajikannya.

Dalam sebuah video yang dimuat naik ke Facebooknya, Wong berkata, selepas beliau mendedahkan pengauditan kerajaan negeri ke atas pejabatnya pada 23 Mei lalu, kerajaan negeri menghantar sepucuk surat ke pejabatnya pada 30 Mei menyatakan mereka sedang meneliti perkara itu.

“Bagaimanapun, dalam satu perubahan mengejutkan, kami menerima sepucuk lagi surat daripada kerajaan Selangor pada 9 Jun menyatakan semua perbelanjaan komuniti kami dibekukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berharap Wong akan menghormati semua proses bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Timbalan presiden PKR berkata, Wong sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri, bukannya membuat kenyataan terbuka.

Dalam perkembangan lain mengenai pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung logo Pakatan Harapan (PH) di United Kingdom, Azmin berkata, sesiapa sahaja boleh berjumpa dengan pengerusi PPBM itu.

“Mungkin dia ke sana untuk menyambut raya bersama Dr Mahathir,” katanya sambil menambah perbincangan mengenai dasar dan hala tuju PH sepatutnya dibuat menerusi Majlis Presiden gabungan itu.

Nurul Azwa menyumbang kepada laporan ini.

Wong Chen: Sebahagian peruntukan dibekukan sebelum audit