Kerajaan perlu akui silap lantik Raus, lanjutan jawatan ketua hakim negara

Hanipa-Maidin-Tan-Sri-Md-Raus-SharifKUALA LUMPUR: Amanah menggesa kerajaan mendukung Perlembagaan Persekutuan dengan mengaku silap dalam melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif

Peguam Amanah, Hanipa Maidin berkata mengikut undang-undang, sekiranya kerajaan menggunakan perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan, lanjutan itu atas nasihat Raus sendiri dan tindakan itu salah.

“Mengikut Perkara 122 (1A) mengatakan bahawa memang Yang Di-Pertuan Agong boleh lantik hakim tambahan setelah mendapat nasihat daripada Ketua Hakim.

“Tetapi saya hairan kenapa dia kata pelantikan itu setelah mendapat nasihat Tun Arifin,” katanya merujuk bekas ketua hakim Tun Arifin Zakaria yang bersara Mac lalu.

“Tun Arifin lama sudah bersara. Apabila kamu bersara dia bukan ketua hakim lagi.

“Siapa ketua hakim sebelum lanjutan itu? Kalau dia kata Arifin, dia bukan ketua hakim tetapi dia bekas ketua hakim negara.

“Ketua hakim adalah Raus dan macam mana Raus boleh nasihat diri sendiri jadi ketua hakim dan ini wujudnya conflict of interest (pertindihan kepentingan),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah di sini.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Raus akan menyandang jawatan ketua hakim negara bagi tempoh 3 tahun lagi bermula 4 Ogos ini, susulan pelantikannya sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurutnya, ia dibuat mengikut Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, iaitu setelah menerima pekenan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Zulkefli yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh 2 tahun mulai 28 September ini pula memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Hanipa berkata tindakan melantik mereka sebagai hakim pertambahan adalah “tidak berperlembagaan dan tidak pernah wujud sebelum ini”.

Hanipa berkata tidak menjadi kesalahan jika Arifin menasihatkan Agong untuk Raus menjadi ketua hakim disebabkan lantikan itu mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Raus perlu menolak lantikan pelanjutan jawatannya itu “sebelum ia jadi ‘trend’ dalam kerajaan”.

“Kalau nak lantik, lantik betul-betul ikut tempoh masa dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.