Sekolah ‘tak pasti’ dari mana Thaqif dijangkiti penyakit kencing tikus

thaqif-mtajPETALING JAYA: Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) “tidak dapat menjawab” laporan Kementerian Kesihatan hari ini yang mendapati kematian bekas pelajarnya Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada April lalu berpunca daripada leptospirosis atau jangkitan kencing tikus.

Pengetua MTAJ, Mohammad Afdhaluddin Ismail memberitahu FMT ia kerana Thaqif dimasukkan hospital 21 hari selepas berhenti daripada madrasah itu.

Afdhaluddin berkata beliau tidak pasti bila Thaqif dijangkiti, dan boleh jadi “hari ini kena, 2 hari kemudian dia bermasalah dan pergi hospital”.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Thaqif dijangkiti dari kawasan madrasah.

“Wallahu a’lam (Tuhan Maha Mengetahui),” katanya dihubungi FMT hari ini.

Thaqif, dimasukkan di wad rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April selepas dakwaan dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden asrama MTAJ di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor.

Kedua-dua belah kaki Thaqif dipotong selepas mengalami pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.

Laporan bedah siasat hari ini merumuskan leptospirosis atau kencing tikus dan bukannya trauma daripada pukulan, sebagai punca Thaqif mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sampel tisu dan darah Thaqif diambil pada hari sama pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.

Afdhaluddin berkata pihaknya belum mendapat laporan KKM, tetapi berkata pegawai KKM ada mengunjungi madrasah itu selepas kejadian tersebut.

 

Thaqif meninggal akibat kencing tikus, kata laporan bedah siasat