Thaqif meninggal akibat kencing tikus, kata laporan bedah siasat

Dr-Noor-Hisham-AbdullahPETALING JAYA: Selepas hampir 3 bulan kematiannya mengejutkan negara, laporan bedah siasat hari ini merumuskan leptospirosis atau kencing tikus dan bukannya trauma daripada pukulan, sebagai punca pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, mendapat jangkitan pada kulit dan darah sebelum meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata ia berdasarkan bedah siasat pada hari sama pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu menggunakan sampel tisu dan darah, yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia tujuan analisis.

“Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan,” katanya.

Thaqif, 11, dimasukkan di wad rawatan rapi di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 19 April lalu selepas dakwaan dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden asrama di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor.

Kedua-dua belah kaki Thaqif dipotong selepas mengalami pembekuan darah, sementara tangan kirinya dijadualkan dipotong sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir.

Kubur pelajar itu digali semula pada 18 Mei disaksikan ahli keluarga, polis dan perwakilan mahkamah, bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan.

Dr Noor Hisham berkata jawatankuasa khas yang menyiasat kes Thaqif terdiri daripada pakar forensik yang mahir yang “berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit”.

“Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu Berita Harian polis akan mendapatkan arahan lanjut timbalan pendakwa raya berdasarkan penemuan terkini itu.