Didik anak kita mengenai Orang Asli, kata ahli antropologi

Didik anak kita mengenai Orang Asli, kata ahli antropologi

Alberto Gomes berkata kanak-kanak perlu didedahkan kepada budaya dan gaya hidup orang asal bagi membasmi stigma terhadap mereka.

Alberto-Gomes-teach-orang-asli2
PETALING JAYA: Seorang ahli antropologi dengan 40 tahun pengalaman bersama Orang Asli berkata Kementerian Pendidikan perlu mendedahkan kanak-kanak bandar kepada gaya hidup dan budaya Orang Asli bagi menghapuskan tanggapan salah.

Alberto Gomes, seorang profesor di Universiti La Trobe di Australia berkata, orang asal tidak diberi penghormatan yang berhak diterima, kerana mereka dipandang rendah dan dianggap primitif oleh penduduk arus perdana.

“Ada ramai peguam dan doktor Orang Asli tetapi apabila mereka beritahu mereka Orang Asli mereka dianggap tidak setaraf,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata amat penting untuk menghapuskan pemikiran yang tertanam dalam kalangan rakyat kononnya orang asal bertaraf rendah berbanding orang lain kerana cara hidup mereka.

“Mungkin adakan lawatan sambil belajar ke perkampungan mereka. Didik mereka mengenai gaya hidup Orang Asli atau jemput mereka memberikan penerangan kepada kanak-kanak di bandar,” kata pengarah Pusat Dialog di Kolej Kesenian, Sains Social dan Perdagangan di La Trobe itu.

Beliau berkata rakyat boleh boleh mengambil ilham daripada teras nilai dan budaya Orang Asli, seperti konsep memberi, semangat kemasyarakatan, hormat-menghormati dan empati pada orang lain.

Gomes sebelum itu memberi taklimat “Miskin Benda, Kaya Moral: Orang Asli, Bangsa Pertama di Malaysia” di Universiti Sunway hari ini.

Beliau berkata banyak yang masyarakat bandar moden boleh belajar dari Orang Asli yang mencintai keamanan dan amat menyanjungi alam sekitar yang dianggap suci bagi mereka.

Beliau berkata mereka percaya diri mereka sebahagian daripada alam maka memusnahkan alam bererti memusnahkan sebahagian diri mereka.

“Mereka melayan orang lain dengan hormat. Jika ada orang perlu ke kampung mereka, orang itu akan dianggap sebahagian daripada mereka. Mereka benar-benar masyarakat yang terangkum,” katanya.

“Budaya mereka ialah budaya memberi. Jika mereka beli ikan, mereka akan beli 5. Satu untuk mereka dan yang lain untuk jiran….rasa itu yang mengukuhkan masyarakat mereka.”

Gomas, yang hidup besama Orang Asli pada 80-an untuk mengkaji cara hidup mereka, berkata ada banyak masalah sosial seperti alkoholisme dan salahguna dadah membelit belia mereka.

Beliau berkata kebanyakan pemuda rasa terputus dari budaya mereka. “Identiti mereka dirompak kerana budaya mereka dipersenda dan dianggap primitif,” katanya.

“Pemuda tidak mahu menjadi sebahagian budaya sendiri tetapi masyarakat arus perdana juga tidak mahu menerima mereka,” tambahnya.

Gomes berkata Orang Asli juga berdepan masalah kehilangan tempat tinggal apabila tanah mereka diambil.

“Mereka orang yang aman. Mereka tidak ada konsep pemilikan tanah. Apabila tanah ditambil mereka rasa hilang tempat tinggal,” katanya.

Beliau mengambil contoh masyarakat yang menetap di sekitar Tapah dan sepanjang jalan menuju Cameron Highlands melaporkan mereka menjadi mangsa diskriminasi kakitangan perubatan di hospital.

Dianggarkan terdapat kira-kira 120,000 Orang Asli di Malaysia Barat. Mereka termasuk kumpulan etnik seperti Temiar, Semai, Lanoh, Semnan, Sabum, Kensiu, Batek, Kentaq Bong, Jehai, Medrique, Tonga, Temuan, Jakun, Orang Kanaq dan Orang Selitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.