MH17: Mengenang sepupu melalui lukisannya

MH17: Mengenang sepupu melalui lukisannya

Sepupu kepada seorang mangsa MH17 berkata lukisan Muhammad Afif Tambi yang terkorban dalam penerbangan Malaysia Airlines mungkin satu prarasa.

Muhammad-Afif-Tambi
PUTRAJAYA: Wanita berambut perang merenung bayangan pesawat merentasi langit, rambutnya beralun ditiup angin.

Pesawat itu mungkin baru sahaja berlepas, melihat kepada jalur putih dan merah yang mengekorinya.

Lukisan Muhammad Afif Tambi itu – yang terbunuh, bersama ibu bapa dan 2 adik beradiknya, apabila MH17 dtembak jatuh 3 tahun lalu – salah satu hasil seni anak Sarawak yang berbakat itu.

Beliau meminati bidang seni, dan lukisan wanita berambut perang oleh pelajar berusia 19 tahun itu antara karya yang dihasilkan 2 bulan sebelum tragedi itu.

Lukisan itu ditemui warisnya di rumah beliau di Kuala Lumpur seminggu selepas tragedi.

Hasil karya lain memaparkan seorang lelaki berbaju coklat melakukan terjunan bebas, dengan tangan yang terentang.

“Mungkin ia satu prarasa,” kata sepupu Afif, Anwar Zafran Zamzuri kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peringatan Ulangtahun Tragedi MH17 ke-3 di Hotel Marriot semalam.

Namun minat Afif juga memberi Anwar dan saudara lain cara terbaik mengingati beliau dan keluarganya.

Mereka membuat keputusan untuk mencetak lukisan itu pada kemeja-T.

Hasil jualan kemeja-T berkenaan akan disalurkan kepada Surah Al-Ghazali yang sedang dibina di Kuching, Sarawak.

Semalam, waris mangsa MH17 menghadiri majlis peringatan untuk menandakan ulang tahun ke-3 tragedi itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Peter Bellew dan Pengerusi Md Nor Md Yusof bersama 90 keluarga mangsa hadir di majlis yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.

Satu majlis peringatan berasingan akan diadakan di Belanda pada 17 Julai, dan semua keluarga mangsa dijemput.

Pesawat Boeing B777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang terbunuh..

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.