Dr M sedia sokong Anwar sebagai PM

Dr M sedia sokong Anwar sebagai PM

Politik penuh dengan kejutan, kata bekas perdana menteri itu selepas memberikan sokongan kepada bekas timbalannya itu.

mahathir-anwar-1
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi sokongan kuat kepada pencalonan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Saya sedia memberi sokongan penuh jika itu yang rakyat mahu,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Bekas perdana menteri itu kini mempengerusikan pakatan pembangkang dan berkata PH menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan pilihan perdana menteri mereka, kerana mahu melakukan “kejutan” pada pilihan raya nanti.

“Kami akan umum nama beliau bila tiba masanya. Mungkin sekarang, atau mungkin sebelum pilihan raya, atau sejurus selepas menang,” katanya.

Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabit kontroversi liwat, bulan lalu mengumumkan beliau tidak merebut jawatan tinggi itu, susulan pertelagahan yang disiarkan di media mengenai pilihan perdana menteri pakatan 4 parti itu.

Selama hampir 2 dekad Dr Mahathir dan Anwar menjadi seteru ketat selepas beliau disingkir pada 1998. Kedua-dua tokoh politik itu berdamai tahun lepas dan bersetuju bekerjasama untuk menewaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Minggu lalu, Anwar dinamakan ketua umum gabungan sementara Dr Mahathir diangkat sebagai pengerusi, dalam langkah yang dilihat penganalisis akan memberi cabaran terbesar kepada Najib dan Barisan Nasional.

Tetapi gabungan itu belum mahu menamakan calon mereka untuk jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir berkata sokongannya kepada Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Tidak ada apa yang baharu. Sebelum Anwar menentang BN. Beliau menentang saya. Saya terima dia masuk Umno.

“Politik penuh dengan kejutan,” kata pengerusi PPBM itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.