
Bagaimanapun, ketua umum PKR dan Pakatan Harapan itu tidak akan membenarkan dirinya “diperalatkan dalam gelanggang politik”.
“Selaku menteri kewangan yang meredakan masalah tersebut dan menerima peletakan jawatan pegawai yang bertanggungjawab, iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein, saya akan memberikan kerjasama penuh kepada RCI ini.
“Saya akan memberikan semua fakta secara telus tetapi tidak akan diheret untuk diperalatkan dalam gelanggang politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan RCI mengenai forex itu sebagai senjata untuk menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Peringatan saya agar jangan ia dijadikan momok politik untuk menyerang musuh tertentu, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Anwar mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam yang berkata, RCI itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan siasatan itu akan diselesaikan dalam masa 3 bulan.
RCI itu akan diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohamed Sidek Hassan dengan dianggotai 5 tokoh, termasuk Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan.
Skandal melibatkan Bank Negara Malaysia itu berlaku antara 1991-1993 dan mendatangkan anggaran kerugian RM25 bilion kepada negara.
Banyak pihak terutamanya pembangkang mempersoalkan penubuhan RCI itu sekarang, memandangkan Dr Mahathir ialah perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003 dan Anwar selaku timbalannya yang juga menteri kewangan ketika itu.
Najib sebelum ini mendakwa Dr Mahathir berbaik-baik dengan Anwar kerana bimbang bekas timbalannya akan memberi keterangan dalam pendengaran RCI mengenai forex.
Pada 13 Julai lalu, Dr Mahathir menolak dakwaan Najib yang beliau takut dengan keterangan Anwar, sebaliknya berkata RCI itu hanya bertujuan “mencari kesalahan saya”.
“RCI ke atas urus niaga mata wang Bank Negara lebih 30 tahun dahulu bukan untuk mencari keadilan, tetapi jelas satu usaha terdesak Najib untuk menutup mulut pengkritiknya. Ia tidak akan berjaya,” kata bekas perdana menteri itu.