Guan Eng dakwa JPPM cuba kenakan DAP

lim-guan-eng-ros-dap-1GEORGE TOWN: DAP mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) cuba “kenakan” mereka kerana mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat menghampiri pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata DAP sedar perancangan JPPM itu dan akan mengemukakan strategi tersendiri untuk menjawab surat rasmi jabatan itu.

JPPM menghantar surat kepada DAP 17 Julai lalu mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC, dan memberi tempoh 14 hari kepada mereka untuk menjawab surat itu.

DAP menuntut JPPM memberikan surat rasmi kepada mereka mengenai arahan tersebut, yang pada awalnya dikeluarkan melalui kenyataan media 7 Julai lepas.

Lim berkata kepimpinan parti akan memutuskan langkah seterusnya berdasarkan kepada komunikasi antara parti dan jabatan kerajaan itu. Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang terhadap JPPM.

“Kita hanya akan tahu apa pilihan yang perlu diambil selepas bertemu. Kami terkejut mereka enggan temui kami.

“Mengarahkan pemilihan baharu 4 tahun selepas pemilihan parti terakhir tindakan yang mengarut. JPPM perlu lebih bijak kalau mahu kenakan kami. Semua orang tahu mereka mahukan kenakan kami. Jangan lakukannya sebelum pilihan raya,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Lim berkata surat rasmi dari JPPM ditujukan kepada Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

“Teresa Kok akan cuba mengatur pertemuan dengan JPPM…saya terkejut JPPM tidak mahu temui ketua menteri. Mengapa takut?” kata Lim.