Despacito: Hanya sebuah lagu cinta dengan irama menarik

Despacito2 (1)PETALING JAYA: Seorang ekspatriat dari Mexico, Roberto Calleja berkata, lirik Despacito boleh diterima budaya orang Amerika Latin kerana ada lagu berbahasa Sepanyol lain yang liriknya lebih lucah daripada lagu popular yang diharamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.

Beliau yang menjadikan bahasa Sepanyol sebagai bahasa ibundanya berkata, ia perkara biasa dalam budaya Amerika Selatan untuk menghasilkan muzik berunsur cinta dan ghairah seperti Despacito.

Beliau menyifatkan Despacito hanyalah sebuah lagi lagu cinta yang orang Latin akan menari bersama iramanya yang menarik.

“Kami mempunyai budaya menyokong cinta. Sebagai orang Amerika Latin, lirik dan muzik Despacito boleh diterima dalam budaya kita,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, panel penilai RTM menarik balik kelulusan siaran Despacito selepas menerima aduan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, lagu itu masih boleh didapati dalam talian.

Sayap Wanita Amanah turut mendesak pihak berkuasa berhenti menyiarkan lagu itu di radio tempatan kerana liriknya tidak sesuai.

Calleja yang merupakan pensyarah di sebuah kolej swasta berkata, pengharaman itu tidak menjejaskan pendengar, khasnya mereka yang celik teknologi kerana ia masih boleh didapati dalam talian.

Beliau berkata, kerajaan hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk memelihara nilai dan budaya negara ini.

“Saya tidak mahu kata ia betul atau salah untuk mengharamkannya. Biar orang ramai tentukan sendiri,” katanya ketika ditanya mengenai pengharaman lagu itu di stesen radio dan saluran televisyen RTM.

Sementara itu, editor Projek Dialog, Ahmad Fuad Rahmat berkata, terlalu lambat untuk mengharamkan Despacito kerana lagu itu sudah popular.

“Saya rasa ini hanyalah paranoia moral yang biasa, selepas mengetahui apa maksud sebenar lirik dalam lagu itu,” katanya sambil menambah larangan itu tidak praktikal.

Fuad yang juga pensyarah berkata, ada beberapa lagu pop berbahasa Inggeris yang berlirik lucah, tetapi tidak diharamkan.

“Tidak masuk akal lagu berbahasa Sepanyol yang orang tidak faham tidak boleh dimainkan di radio.”

Pelajar yang tahu berbahasa Sepanyol, Danial Azhar berkata, beliau tidak terpengaruh dengan lirik Despacito dan meragui pendengar lain yang tidak memahami bahasa itu boleh terjejas kerana lirik lucahnya.

“Saya ragu-ragu orang akan dipengaruhi sesuatu yang mereka tidak faham, kecuali mereka mencari terjemahannya.”

Danial yang kini tinggal di Mexico berkata, tiada gunanya hanya mengharamkan Despacito di stesen radio dan televisyen milik kerajaan.

Beliau berkata, larangan itu mungkin tidak memberi kesan kepada penonton atau pendengar RTM kerana majoriti mereka berasal dari kawasan luar bandar dan tidak memberi perhatian kepada lagu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, tidak perlu mengharamkan Despacito kerana generasi muda mungkin tidak mengambil tahu lirik lagu yang mereka nyanyikan.

“Kami sudah mengajar anak-anak apa yang baik, jadi adakah kita perlu mengawal mereka dengan memberitahu jenis lagu yang mereka boleh dengar dan tidak?

“Anak-anak menyanyi lagu bukan kerana maksudnya, tetapi kerana iramanya,” katanya kepada FMT sambil mengakui beliau sendiri tertarik dengan irama lagu itu, tetapi bukan maksud liriknya.

Despacito didendangkan penyanyi dari Puerto Rico, Luis Fonsi yang turut menampilkan penyanyi rap, Daddy Yankee.

Ia mendahului carta di 45 negara dan berada dalam senarai 10 lagu paling popular di 9 negara lain, menjadikan ia rekod single paling berjaya buat Fonsi dan Daddy setakat ini.

Video muzik Despacito turut ditonton lebih 2 bilion kali di YouTube.

Sebahagian lirik lagu itu berbunyi: “Biar saya bernafas perlahan-lahan di lehermu, Biar saya tanggalkan pakaianmu perlahan-lahan dengan ciuman, memasuki dinding labirin anda dan menjadikan seluruh tubuhmu satu manuskrip.”

Dahulu, lagu yang disiarkan stesen radio awam perlu melalui proses penapisan dengan kata-kata sumpahan akan disenyapkan tanpa mengganggu rentak lagu itu.

* Afiqah Farieza menyumbang kepada laporan ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/19/kementerian-haramkan-despacito-berlirik-lucah/