Johari: Kerajaan belum cadang tukar harga minyak secara harian

Johari: Kerajaan belum cadang tukar harga minyak secara harian

Johari berkata formula penetapan harga bahan api memerlukan masa serta penelitian secara menyeluruh.

johari-minyak
KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum berhasrat untuk menukar mekanisme penetapan harga minyak petrol dan diesel secara mingguan kepada harian, kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata formula penetapan harga bahan api yang dicadangkan oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini juga memerlukan masa serta penelitian secara menyeluruh.

“Elok kita bagi sedikit masa untuk KPDNKK menyelaras bagaimana (penetapan) mekanisme perubahan harga mingguan ini.

“Jika dilaksanakan mengikut penetapan harga harian, ia memerlukan persediaan yang rapi manakala pengusaha dan pemilik syarikat minyak juga perlu membuat persiapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hari ini.

Sehubungan itu, Johari berkata penetapan harga minyak secara mingguan akan diteruskan buat masa ini sehingga keputusan lebih baik dapat dicapai yang dapat memberi faedah kepada semua pihak termasuk rakyat serta kalangan pengusaha bahan api berkenaan.

“Penetapan harga minyak mingguan setakat ini nampak ‘ok’ dah. Semua orang boleh mendapat manfaatnya.

“Pada akhirnya kelak, kerajaan tidak mahu ambil duit daripada pengguna. Kalau harga minyak jatuh, pengguna mesti mendapat manfaat dan begitu juga kalau harga minyak naik bermakna pengguna kena menanggungnya (kesan kenaikan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.