PETALING JAYA: Dua peguam syarie menyatakan pandangan berbeza mereka berhubung keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mendapati Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menambah nama “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang anak luar nikah.
Peguam Syarie, Nizam Bashir yang terlibat dalam kes melibatkan pasangan ibu bapa dan kanak-kanak yang kini berusia 7 tahun itu, berkata keputusan itu bermakna JPN selepas ini tidak boleh membinkan seseorang anak luar nikah dengan nama “Abdullah” seperti mana amalan sebelum ini.
Katanya, ia berdasarkan peruntukan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
“Peruntukan Seksyen 13 (akta itu) adalah jelas. Secara amnya, JPN tidak ada hak selepas ini untuk mendaftarkan ‘bin Abdullah’ apabila ayah kepada anak terbabit bersetuju untuk membinkan anak tersebut dengan namanya.
“JPN kena ikut keputusan itu.
“Sebarang keputusan di Mahkamah Rayuan boleh jadi rujukan untuk kes-kes seperti itu masa akan datang,” katanya.
Nizam yang merupakan salah seorang peguam dalam kes itu berkata JPN tidak perlu memohon keputusan itu dikaji balik Mahkamah Rayuan.
“Ini berdasarkan alasan yang dibentangkan dalam keputusan tersebut,” katanya.
Dalam kehakimannya yang diterbitkan minggu ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila meletakkan nama bapa seorang anak luar nikah sebagai “Abdullah”.
Mahkamah turut mempertikaikan amalan JPN menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah, walaupun ia berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan lebih 3 dekad laulu.
“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 2 hari lalu.
Menurutnya, undang-undang tidak membezakan kanak-kanak Islam dan bukan Islam.
Identiti ibu bapa dan anak mereka yang kini berumur 7 tahun itu tidak dinamakan atas permohonan peguam mereka.
Kanak-kanak itu dilahirkan pada 17 April 2010, 5 bulan dan 27 hari selepas pasangan itu bernikah pada 24 Oktober 2009. Menurut kalendar Islam, ia kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit. Kelahiran itu didaftarkan di JPN 2 tahun kemudian.
Implikasi kepada umat Islam
Keputusan itu dialu-alukan beberapa kumpulan, termasuk Sisters In Islam yang menyifatkannya selari dengan semangat Al-Quran yang mahu anak angkat berbinkan nama bapa mereka.
Bagaimanapun, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader tidak setuju dengan keputusan itu, dan mendakwa ia memberi gambaran negatif dan tidak mengikut ajaran Islam.
Beliau turut mendakwa undang-undang Islam jelas melarang anak luar nikah berbinkan nama ayah kandungnya.
“Hakim tak faham hukum dalam Islam ini. Anak luar nikah tak boleh dapat apa-apa hak sama ada nama bin bapa itu dan harta pusaka, dan tak boleh jadi wali kepada anak perempuan.
“Macam mana dia boleh kata ikut Seksyen 13(A)(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, 1957. Ini salah, kena ikut fatwa (Islam) itu,” katanya.
Beliau yakin sekiranya rayuan JPN berjaya, Dewan Rakyat akan meminda akta itu.
“Ini akan beri kesan hebat pada orang Islam.
“Kalau macam ini, mereka akan galakkan lebih banyak kes macam ini seperti kes anak luar nikah. Semua akan buat, mereka fikir tidak apa ada anak luar nikah sebab boleh letak bin nama mereka. Kalau mereka tidak kahwin apa jadi?
“Takkan nak paksa mereka kahwin tipu-tipu, selepas itu paksa mereka cerai balik,” katanya.
Mahkamah: JPN tiada hak tambah ‘Abdullah’ pada nama anak luar nikah