Mahkamah: JPN tiada hak tambah ‘Abdullah’ pada nama anak luar nikah

Abdul-Rahman-Sebli-mykid-baby-newborn-1PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.

Dalam penghakiman bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa kanak-kanak itu, mahkamah turut mempertikaikan amalan menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 2 hari lalu.

Hakim lain ialah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof.

Abdul Rahman berkata ketua pengarah JPN bertindak tidak rasional apabila mendaftarkan kanak-kanak itu dengan nama bapa “Abdullah” dalam sijil kelahiran, menentang hasrat ibunya.

Beliau juga berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Identiti ibu bapa dan anak mereka yang kini berumur 7 tahun itu tidak dinamakan atas permohonan peguam mereka.

Kanak-kanak itu dilahirkan pada 17 April 2010, 5 bulan dan 27 hari selepas pasangan itu bernikah pada 24 Oktober 2009. Menurut kalendar Islam, ia kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit. Kelahiran itu didaftarkan di JPN 2 tahun kemudian.

Semakan kehakiman difailkan pada 3 September 2015 dan Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 4 Ogos tahun lepas.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Fungsi fatwa

Abdul Rahman berkata walaupun keputusan JPN untuk mengenakan “bin Abdullah” berdasarkan 2 fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003, ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Tetapi Abdul Rahman berkata fatwa itu bertujuan untuk mengesahkan status kanak-kanak itu dalam persoalan mengenai pembahagian harta pusaka dan hubungan keluarga dalam hal berkaitan perkahwinan, dan bukan untuk “mengumumkan kepada seluruh dunia” bahawa anak itu anak luar nikah.

Beliau berkata walaupun fatwa memaksa undang-undang dalam perundangan syariah, ia tidak ada kaitan dengan tugas berkanun ketua pengarah JPN di bawah BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di Malaysia Barat.

“Responden ke-2 (ketua pengarah JPN) mesti bertindak dalam lingkungan kuasanya. Jika dia bertindak melampaui batas kuasanya, dia bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya.

Abdul Rahman berkata nama keluarga tidak lebih daripada nama yang ditanggung oleh ahli keluarga, dan berbeza dari nama pertama.

Di bawah undang-undang, oleh itu (dan kita di sini bercakap mengenai undang-undang sivil dan bukannya undang-undang syariah), seorang anak mendapat nama keluarga sama ada daripada nama ibu atau bapanya.

“Sekiranya dia seorang anak yang sah taraf, seksyen 13A (1) terpakai, jika dia seorang kanak-kanak yang tidak sah taraf, seksyen 13A (2) juga terpakai, ia tidak boleh lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata tidak ada alasan untuk menggenakan nama bapa kepada nama anak apabila nama bapa sudah dinyatakan dalam sijil kelahiran.

“Jika semua kemasukan itu diperlukan, ia adalah dalam kad pengenalan yang akan dikeluarkan kemudian apabila kanak-kanak itu cukup umur,” katanya sambil menambah peraturan yang sama terpakai sama ada kanak-kanak itu luar nikah atau tidak.