
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Azman Abdullah sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengarahkan Sharil Sarif membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Hakim Radzi Abdul Hamid yang menyampaikan alasan ringkas penghakiman berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila melepaskan Sharil.
Mahkamah rendah sebelum ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie kerana tidak dapat membuktikan niat memandangkan Sharil didapati tidak siuman.
“Pembelaan sepatutnya dipanggil memandangkan perayu (tertuduh) mengaku tidak siuman. Pihak pembelaan kemudian boleh memanggil semula pakar perunding psikiatri untuk memberi keterangan,” kata Radzi, yang bersidang bersama Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen sama di Kuala Lumpur. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 Mei.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya Atiqah Abdul Karim manakala peguam Pang Tek Kit mewakili Sharil.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Shahril didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui Twitter menggunakan laman profil “SharilSarif39″ dengan niat menyakitkan hati orang lain, antara 5.28 dan 5.30 pagi 12 Mac 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sharil mempunyai tiga sabitan terdahulu bagi kesalahan serupa.
Pada 26 April 2019, dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menghina Yang di-Pertuan Agong ketika itu di Facebook.
Dia juga dihukum penjara 10 bulan oleh mahkamah sama pada 6 Julai 2020 kerana menghina Agong dan Raja Permaisuri di Instagram.
Pada 24 Sept 2021, beliau dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana menghina Agong di Twitter.