
“Itu adalah soal teknikal saja, bukan soal tak mampu bayar balik.
Jadi dijangka tidak akan menjejaskan soal ekonomi pada negara kita,” katanya menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata 1MDB sudah pun mengeluarkan kenyataan menjelaskan perkara itu semalam.
Wan Azizah sebelum itu berkata kegagalan memenuhi perjanjian bayaran balik itu akan menggugat sentimen pelabur asing.
Semalam, 1MDB gagal membuat ansuran pertama kepada IPIC selepas tempoh akhir berlalu pada 12.00 tengah hari.
Menurut syarikat itu, ia disebabkan kelewatan kelulusan kawal selia tambahan yang menyebabkan ia tidak dapat menerima dana yang sepatutnya diterima bulan lalu.
“Memandangkan dana ini akan digunakan bagi tujuan pembayaran kepada IPIC, 1MDB telah mengemukakan makluman bertulis kepada IPIC mengenai komitmen kami untuk memenuhi obligasi yang pada asalnya dijadualkan pada 31 Julai, 2017 kepada Ogos, 2017,” kata 1MDB.
1MDB mencapai persetujuan pada April lalu untuk membayar hutang IPIC, yang kini bergabung dengan Mubadala, sebanyak AS$1.2 bilion dalam 2 ansuran.
Firma bermasalah itu berkata pembayaran dilakukan melalui unit pelaburannya.