
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Rohani juga tiada hak untuk menentukan mangsa rogol sedang menjalani kehidupan baik, walaupun selepas 4 tahun kejadian itu berlaku dan perogolnya sedang dipenjarakan.
Ini kerana, katanya, mangsa itu bukan sahaja perlu berkahwin kepada perogolnya, malah dinafikan hak menerima pendidikan formal, walaupun ia pilihan mangsa sendiri.
“Bagaimanakah seorang kanak-kanak bersedia menjadi seorang isteri terutamanya kepada seorang perogol? Adakah anak ini bersedia secara emosi dan mental untuk menangani keadaan ini?
“Tidak masuk akal untuk berfikir mengahwini si perogol akan menyelamatkan mangsa dan keluarga daripada menanggung malu. Dan tidak boleh fikir dengan perkahwinan itu, perogol terselamat daripada dihukum. Pokok pangkalnya, perkahwinan kanak-kanak perlu dihapuskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rohani berkata di Parlimen, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang berkahwin dengan lelaki disabitkan kesalahan merogolnya di Sabah 4 tahun lalu, kini dalam “kesihatan baik”.
Beliau berkata, mangsa kini berumur 16 tahun dan tinggal bersama keluarga di Kota Kinabalu.
Katanya, gadis itu masih isteri kepada Riduan Masmud, 44, seorang bekas pengurus restoran dan kini dipenjara atas kesalahan merogolnya pada 2015.
Sementara itu, Zuraida bimbang dengan masa depan gadis itu selepas suspek keluar dari penjara.
“Adakah dia akan memberi nafkah secukupnya? Adakah mangsa akan terus dirogol? Adakah perogol akan menceraikannya dan apakah jaminan mangsa tidak akan ditinggalkan tanpa sebarang simpanan dan pekerjaan?” soal Zuraida.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, tidak mustahil suatu hari nanti lelaki semakin berani merogol wanita dan kemudian mengahwini mangsa untuk menutup kesalahan mereka.
Perogol kahwin mangsa: MP Kulai dakwa jawapan menteri beri mesej salah
Budak 12 tahun berkahwin perogol dalam keadaan baik, kata menteri