
Menteri Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya akan memanggil pemaju terlebih dahulu sebelum mengeluarkan Pembaharuan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL).
“Macam saya kata harga rumah ini ditentukan oleh pihak kerajaan negeri dengan cadangan pemaju. Mereka ambil kira semua. Sebab itu, sudah sampai masanya kita buat satu formula untuk membuat pertimbangan harga yang kita kaji dengan harga yang dikenakan oleh pemaju.
“Jadi kalau kita dapati pemaju jual lebih daripada harga yang sepatutnya sebelum kita keluarkan APDL, kita akan panggil untuk lihat justifikasinya kenapa jual terlalu mahal,” katanya pada sidang media di Karnival Perumahan Mampu Milik di Shah Alam Convention Centre (SACC).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) yang menolak pendapat hartanah tidak terjual kerana syarat ketat pinjaman bank.
Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata kepada FMT harga “tidak masuk akal” menjadi penyebab sebenar ramai rakyat Malaysia tidak mampu memiliki harta, termasuk mereka yang berpendapatan seisi rumah RM9,000.
Sebelum ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berkata isu pembiayaan akhir dan penolakan pinjaman sebab utama hartanah tidak terjual dengan kadar penolakan setinggi 60%.
Bagaimanapun, HBA mempersoalkan pandangan itu.
Dalam pada itu Noh berkata kementerian meminta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi kelonggaran kepada pembeli rumah yang pertama.
Katanya, BNM buat masa ini sudah mengkaji cadangan KPKT itu dalam usaha untuk membolehkan rakyat memiliki rumah pertama.
“Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan mereka untuk peminjam yang ingin membeli rumah.
“Kita dah jumpa BNM untuk meminta mereka beri kelonggaran. Mereka sedang kaji. Sebab beli rumah tidak sama dengan membeli kereta atau hutang lain. Perlu ada kelonggaran,” katanya.