Pelajar hayun kerusi, guru patah jari

Pelajar hayun kerusi, guru patah jari

Budak lelaki itu dilaporkan memukul guru wanita itu yang menamparnya kerana mengeluarkan perkataan menghina.

Mak-Chee-Kin_pukul600
PETALING JAYA:
Seorang guru di Melaka menderita selepas jarinya patah akibat dipukul dengan kerusi oleh seorang pelajar 14 tahun, yang ditegur kerana mengeluarkan kata kesat dalam kelas.

Dalam laporan The Star, pengerusi persatuan ibu bapa di Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata beliau diberitahu oleh saudara guru itu bahawa pelajar itu mengeluarkan kata-kata menghina seperti “bodoh” terhadap guru itu.

Apabila guru memintanya berhenti berkata kesat, pelajar itu enggan mendengar sebaliknya mencabar guru memukulnya.

Menurut saudara guru itu, guru itu kemudian menampar pelajar itu, yang membalas dengan menghayun kerusi ke arahnya.

Laporan mengatakan guru itu membuat laporan polis susulan kejadian itu yang berlaku pagi Isnin lepas.

Bagaimanapun, Mak berkata pengurusan sekolah meminta guru menarik balik laporannya.

Mak menambah guru itu kini trauma dan berharap tidak perlu kembali ke sekolah. Mak mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pelajar itu.

Menurut laporan itu lagi, Mak berkata beliau akan bangkitkan hal itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.