Tangkapan Isa bukti kerajaan ikhlas lawan rasuah, kata Umno

rizal-isa-2

PETALING JAYA: Umno bahagian berkata tangkapan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad menunjukkan kerajaan serius melawan rasuah.

Ketua Umno Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar berkata siasatan dan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membantu memulihkan kepercayaan rakyat kepada Felda.

“Ini juga menunjukkan kerajaan serius tangani kes rasuah,” katanya.

Beliau mengulas tangkapan Isa oleh pihak berkuasa berhubung pembelian 2 hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC).

Rizalman berkata walaupun Isa belum didakwa untuk sebarang salahlaku, suruhanjaya mungkin memiliki kes yang kuat untuk melancarkan siasatan.

Beliau menambah Isa wajar meletak jawatan sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atas dasar moral.

“Dia perlu letak jawatan atas dasar moral,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Cheras Syed Ali Alhabshee berkata tangkapan menunjukkan pihak berkuasa menjalankan tugasnya.

“Sebarang salahlaku yang dibawa ke muka pengadilan memberikan mesej jelas kita di bawah pentadbiran sekarang mengambil perkara ini dengan serius,” katanya kepada FMT.

Ketua Umno Subang Zein Isma menambah proses siasatan SPRM itu sebahagian dari proses biasa.

“Proses biasa untuk memanggil mereka yang terlibat, terutamanya Tan Sri kerana dia juga pengerusi ahl lembaga.

“Mereka akan soal siasat ramai pihak. Itu proses mengumpul fakta.”

Zein berkata tangkapan menunjukkan kerajaan ikhlas melawan rasuah, yang menyaksikan ramai pemimpin politik disoal SPRM.

Sementara itu, bekas pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar akan memberi komen selepas siasatan selesai.

Sumber berkata Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian 2 hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata penahanan itu merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

Isa meletak jawapan sebagai pengerusi FGV dan dilantik pemangku pengerusi SPAD pada Jun.