Hormat keputusan parti sokong kerajaan perpaduan di NS, Zahid tegur 3 sayap Umno

Hormat keputusan parti sokong kerajaan perpaduan di NS, Zahid tegur 3 sayap Umno

Presiden Umno ulas kenyataan tiga sayap partinya di Negeri Sembilan yang tindakan 14 Adun BN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai wajar.

ZAHID HAMIDI BN
Zahid Hamidi berkata pendirian rasmi Umno kekal menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan kedudukan 14 Adun Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan Negeri Sembilan adalah keputusan parti yang mesti dihormati.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan tiga sayap Umno Negeri Sembilan yang menyifatkan tindakan 14 Adun BN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai wajar.

“Soal ketidakpercayaan itu adalah pendapat mereka, tetapi kita yakin bahawa keberadaan Adun-adun BN di dalam kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan itu adalah keputusan parti dan ia harus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penutup Konvensyen Pendidikan Bumiputera sempena ulang tahun Umno ke-80 di WTCKL.

Terdahulu, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Negeri Sembilan menyifatkan arahan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong serta pengosongan kediaman rasmi dan balai itu sebagai tindakan tidak wajar ketika pertikaian adat belum selesai.

Dakwa mereka, Balai itu sedang menguruskan pertikaian belum selesai melibatkan Mubarak Dohak, bekas Undang Luak Sungei Ujong.

Tiga sayap itu berpandangan tindakan tergesa-gesa seperti itu hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis ini telah gagal diurus dengan bijaksana oleh Aminuddin

Semalam, media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong, susulan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April.

Sidang itu bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak, selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pada 20 April lalu, Aminuddin mengumumkan Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Isnin lalu, 14 Adun BN menarik balik sokongan terhadap Aminuddin kerana didakwa gagal mengurus krisis itu dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.