
“Sesiapa boleh kata apa mereka mahu. Jadi, jika mereka tidak puas hati, anda boleh bawanya ke mahkamah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.
Peguam hak asasi yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran hari ini mempersoalkan SPRM dan polis memaksa suspek memakai baju lokap berwarna oren atau ungu.
Dua tahanan berprofil tinggi SPRM minggu ini dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah reman mereka dalam baju lokap berwarna oren. Mereka ialah bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad dan exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Surendran memetik Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Penjara 2000 berkata, seorang individu yang ditahan boleh menolak pemakaian baju lokap.
“Dipaksa memakai baju seragam berwarna oren terang dan diarak dalam kawasan mahkamah memalukan orang yang ditahan dan mewujudkan persepsi dia sememangnya orang bersalah atau penjenayah, walaupun mahkamah belum mengumumkannya bersalah,” katanya.
Surendran berkata, Peraturan 168 Peraturan Penjara 2000 menjadikan ia mandatori untuk pihak berkuasa penjara membenarkan tahanan yang belum disabit kesalahan untuk memakai baju sendiri.
Tetapi, Dzulkifli bertegas SPRM bertindak mengikut undang-undang.
“Anda membaca Perkara 5. Ada tak ia menyatakan apa-apa tentang memakai baju seragam lokap oren?
“Jika anda kata ia tidak mengikut Perlembagaan, pergi ke mahkamah dan cabarnya. Kami juga ada hak kami. Itu sebabnya wujud mahkamah,” katanya ketika diasak wartawan.
Ditanya mengenai kemunculan Isa di mahkamah semalam tanpa digari, Dzulkifli berkata: “Saya percaya pegawai penguatkuasa dalam menggunakan budi bicara mereka, ada alasan munasabh berbuat demikian.”