
“Seorang yang ditahan untuk siasatan perlu dibenarkan memakai baju sendiri, dan bukan apa-apa baju seragam yang dibekalkan pihak berkuasa yang menahannya,” kata Surendran.
“Seorang tahanan dibenarkan undang-undang untuk tidak memakai baju lokap.”
Beliau mengulas 2 penangkapan berprofil tinggi oleh SPRM baru-baru ini melibatkan ahli exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.
Kedua-dua mereka dibawa ke mahkamah dengan berpakaian baju lokap oren SPRM.
Phee ditahan SPRM selama 3 hari untuk membantu siasatan kes kilang haram pada minggu lepas, sementara Isa ditahan bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Surendran berkata amalan memaksa suspek memakai seragam lokap bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan juga Peraturan Penjara 2000, yang mewajibkan pihak penjara untuk membenarkan tahanan yang belum tersabit kesalahan memakai baju sendiri.
“Dipaksa memakai seragam oren sebelum dibawa ke mahkamah adalah mengaibkan kepada orang ditahan dan memberikan persepsi dia seorang penjenayah walaupun belum disabitkan dalam mahkamah,” katanya.
Surendran berkata amalan polis memaksa suspek memakai baju lokap unggu juga menyalahi undang-undang.
Surendran turut mempersoalkan tindakan SPRM menggari Phee, dengan berkata lelaki berusia 66 tahun tidak berisiko melarikan diri.
“Sekiranya tiada risiko suspek melarikan diri atau bertindak ganas, gari tangan tidak sepatutnya digunakan,” katanya.