Bekas pemimpin PAS dalam Amanah sedia bantu RCI Memali

Bekas pemimpin PAS dalam Amanah sedia bantu RCI Memali

Timbalan presiden Amanah berkata siasatan mengenai tragedi itu turut dapat merungkai 'Amanat Hadi'.

amanah_talk_0
KUALA LUMPUR:
Bekas pemimpin PAS yang kini dalam Amanah hari ini berkata mereka sedia memberikan keterangan sekiranya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat peristiwa berdarah di Kampung Memali 3 dekad lalu.

“Kami bersedia memberikan keterangan kepada RCI jika dipanggil kerana ia adalah forum terbaik untuk menghuraikan kekeliruan rakyat berhubung isu tersebut,” kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

“Penubuhan RCI akan menamatkan polemik rakyat berkenaan isu ini dan bukan menjadikannya senjata politik terhadap musuh-musuh politik menjelang PRU-14,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat Amanah di sini.

Tragedi Memali kembali dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Pergaduhan tercetus selepas penduduk kampung mempertahankan guru agama Ibrahim Mahmud daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.

PAS ketika itu menolak tuduhan terhadap Ibrahim, yang turut terkorban bersama 18 lain, termasuk 4 anggota polis.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan RCI mengenai Memali boleh ditubuhkan, cadangan yang menerima sokongan kuat pimpinan PAS.

Pelbagai pihak lain turut mengalu-alukan RCI Memali, selepas pimpinan pembangkang dan Barisan Nasional saling tuduh menuduh mengenai tragedi itu.

Bekas timbalan perdana menteri ketika peristiwa Memali, Tun Musa Hitam, hari ini turut bersetuju RCI Memali diadakan, tetapi berkata ia perlu dilakukan selepas pilihan raya umum ke-14.

“Demi mengelak peristiwa Memali disalah gunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, adalah lebih bijak dan menepati tujuan penubuhan RCI ditangguhkan sehingga selesai PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu, mengalu-alukan RCI Memali.

“Saya rasa mereka harus siasat segala-galanya. Orang yang bekerja dengan saya juga perlu disiasat,” kata Dr Mahathir kepada FMT.

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih mengenai insiden Memali pada 1986, tetapi kandungannya dipersoalkan penduduk kampung dan PAS.

Salahuddin berkata RCI Memali dapat merungkai “Amanah Hadi”, yang kerap dikaitkan dengan tuduhan kafir terhadap Umno.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu.

Salahuddin turut mengulangi gesaan supaya siasatan turut diadakan terhadap skandal lain melibatkan pemimpin BN.

“Penubuhan RCI ini juga perlulah diperluas kepada semua isu-isu yang mempunyai kepentingan umum seperti skandal 1MDB dan Felda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.