Perlindungan undang-undang boleh elak orang gaji lari, kata Tenaganita

Perlindungan undang-undang boleh elak orang gaji lari, kata Tenaganita

NGO tersebut kini dalam usaha merangka draf perundangan mengambil kira keperluan pembantu rumah.

aegil-maids-1
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan yang kerap membangkitkan isu hak asasi pekerja asing berkata kumpulan pembantu rumah masih tidak ditangani undang-undang negara.

Tenaganita yang sedang dalam proses menyediakan draf perundangan melindungi pembantu rumah di Malaysia berkata tiada undang-undang khusus memenuhi keperluan kumpulan pekerja ini buat masa sekarang.

“Kita menjangka memuktamadkan draf perundangan pada Oktober,” kata Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez pada acara Freedom Film Festival semalam.

“Kami sedang mendesak mekanisme perlindungan yang akan mengikuti konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai pembantu rumah.”

Aegile berkata draf perundangan itu akan mengikuti Akta Kerja 1955 yang mengiktiraf pembantu rumah sebagai pekerja.

“Buat masa sekarang, kita kenal mereka sebagai orang gaji. Dan mereka tiada kontrak sah dengan majikan mereka. Kami akan cuba ubah itu,” katanya.

Salinan draf perundangan itu, kata Aegile, akan dihantar kepada pihak berkuasa di negara yang menghantar pembantu rumah ke Malaysia seperti, Sri Lanka, Kemboja, Indonesia, Timor Leste, India dan Filipina.

Data Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) menunjukkan terdapat lebih 250,000 pekerja domestik di Malaysia.

Bagaimanapun, diramalkan satu dalam 20 orang gaji akan hilang, melarikan diri daripada majikan mereka.

Antara punca pembantu rumah menghilangkan diri termasuk penindasan majikan, keadaan bekerja yang teruk, peluang lebih baik di tempat lain dan keinginan untuk bebas.

Dalam responsnya, Aegile berkata situasi itu berlaku kerana pembantu rumah tidak memperoleh perlindungan sepatutnya.

“Saya berpendapat pembantu rumah itu tidak melarikan diri, mereka hanya meninggalkan pekerjaan mereka kerana tiada perlindungan di sini.

“Kontrak yang diperoleh juga hanya menyebelahi majikan kerana tiada fasal yang membela hak mereka sebagai pekerja,” katanya.

Fernandez berkata, berbeza dengan Malaysia, sekurang-kurangnya Hong Kong menetapkan hari bekerja dengan cuti pada setiap Ahad.

“Kami rancang untuk mendekati Kementerian Sumber Manusia dan beberapa ahli parlimen untuk menyokong perundangan kami.

“Jika boleh, kami mahu mereka membentangkannya pada persidangan parlimen seterusnya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.