Kekal atau keluar parti, bekas ahli Parlimen PKR putuskan selepas rayuan

Kekal atau keluar parti, bekas ahli Parlimen PKR putuskan selepas rayuan

S Manickavasagam yang sedang merayu penggantungannya nafi memfitnah Anwar Ibrahim.

S-Manickavasagam-pkr-1
PETALING JAYA:
Bekas ahli Parlimen Kapar S Manickavasagam yang sedang merayu keputusan PKR menggantung keahliannya selama 2 tahun akan membuat keputusan sama ada kekal atau tidak dalam parti itu selepas keputusan rayuannya.

“Saya akan buat keputusan selepas mereka mengkaji rayuan saya,” kata Manickavasagam kepada FMT selepas menyerahkan surat rayuan di ibu pejabat PKR hari ini.

Ahli majlis kepimpinan pusat itu digantung pada 25 Ogos lalu selepas lembaga disiplin mendapati beliau bersalah memfitnah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap di sebuah kuil pada April.

Manickavasagam menafikan dakwaan itu dan berkata beliau pernah ke penjara untuk Anwar semasa zaman “reformasi”.

Beliau juga berkata penggantungan itu sepatutnya dimaklumkan secara berdepan, bukannya melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata sedih selepas 17 tahun bekerja keras untuk PKR, parti itu memilih untuk menghukumnya dan tidak mendengar penjelasanya.

“Kalau kamu tengok di internet kamu akan dapati saya hanya bercakap perkara yang baik-baik mengenai Anwar. Anwar ketua saya dan idola saya, jadi mengapa saya nak bercakap buruk mengenai Anwar?” katanya.

Beliau mendakwa PKR tidak menyoal saksi di kuil di Kapar, Klang itu, yang menjemput beliau untuk merasmikan patung Dewa Muruga pada April.

Manickavasagam menyerahkan video di majlis perasmian itu yang dihasilkan oleh pihak kuil bersama surat rayuannya, sebagai bukti beliau tidak memfitnah Anwar dalam ucapannya.

Beliau mengulangi dakwaannya seorang ahli parti berbangsa Melayu yang tidak pun berada di majlis tersebut membuat aduan terhadapnya.

Beliau mendakwa apabila beliau tiba di lokasi majlis, sekumpulan lelaki mabuk mencetuskan kekecohan dan mula mengkritik Anwar dan dirinya, kerana mereka tidak berpuas hati beliau diberi jawatan penyelaras DUN Bukit Melawati.

Menurut Manickavasagam, isu itu selesai selepas beliau menyebut tentang usaha baik yang dilakukan kerajaan Selangor dalam ucapannya, dan kumpulan lelaki itu meminta maaf.

Beliau menambah satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu tetapi pesanan mendakwa beliau memfitnah Anwar mula tersebar di media sosial.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan minggu lepas berkata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution memaklumkan Manickavasagam yang keahlian partinya digantung selama 2 tahun berkuat kuasa 25 Ogos lepas.

Fahmi berkata biro politik PKR membuat keputusan itu berdasarkan laporan lembaga disiplin yang mendapati Manickavasagam memfitnah pemimpin parti dalam satu ucapan di Kapar, Selangor 8 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.