Setiausaha politik, 2 staf ahli Parlimen ditahan SPRM

macc-arrest1

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi menahan 3 kakitangan seorang ahli Parlimen pembangkang di Lembah Klang bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan RM20,000 berkait urusan imigresen.

Menurut Utusan Malaysia, mereka adalah kakitangan Ahli Parlimen Subang dari PKR, R. Sivarasa.

Ketika dihubungi FMT, Sivarasa enggan mengesahkan penahanan itu serta merta.

“Saya akan keluarkan kenyataan dalam masa 2 jam lagi dan semua tentang itu, akan dijawab nanti,” katanya.

Turut ditahan ialah setiausaha politik berusia 45 tahun. Penahanan itu berlaku beberapa jam selepas SPRM menahan pembantu peribadi dan kerani di sebuah restoran di Cheras tengah hari ini.

Menurut SPRM, ketiga-tiga mereka akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk direman.

“Menerusi maklumat awal yang diperoleh, syarikat milik pengadu dikatakan pernah membawa masuk pekerja asing bertaraf buruh menggunakan kelayakan profesional dan diketahui oleh ketiga-tiga suspek,” menurut kenyataan SPRM.

“Pengadu mendakwa diminta menyediakan wang RM55,000 bagi menyelesaikan urusan berkaitan imigresen.”