
Beliau menegaskan yang dirinya tidak berpuas hati dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang mahukan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat parti diadakan semula, yang mana penggal perkhidmatan penjawat sepatutnya tamat Mac tahun depan.
Lim menjawab laporan di Malaysiakini yang meramalkan pemilihan semula itu akan membolehkan beliau melanjutkan penggal setiausaha agung yang dipegangnya hingga 2020.
Ini kerana pemilihan semula itu berdasarkan kepada senarai perwakilan 2012, lantas membatalkan semua pemilihan parti yang diadakan sejak itu.
Lim diangkat ke jawatan itu pada 2004 dan kini memasuki penggal ketiga dan terakhir buatnya. Perlembagaan parti membolehkan seseorang memegang jawatan setiausaha agung untuk 3 penggal sahaja, di mana setiap penggal bersamaan 3 tahun.
Kesimpulannya, perkembangan itu melayakkan Lim untuk bertanding semula jawatan setiausaha agung pada pemilihan semula yang dijadualkan berlangsung 12 November ini.
“Saya tidak mahu mengatakan ada rahmat tersembunyi…kita tidak mengkehendaki pemilihan yang diaturkan JPPM ini. Kami bantah pemilihan ini.
“Kamu membekukan masa depan parti dan membawa parti ke masa lalu melalui senarai perwakilan 2012.
“Kami sepatutnya mengadakan pemilihan biasa pada Mac 2018. Jadi kami rasa keputusan JPPM itu berunsur politik,” kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.
Lim berkata kehendak JPPM itu “tidak perlu dan tidak profesional”.
“Kami tidak takut untuk mengadakan pemilihan berdasarkan senarai perwakilan 2012. Kalau JPPM merasakan tidak semua perwakilan keluar mengundi bererti keputusan itu tidak sah, bagaimana pula dengan pilihan raya umum?
“Tidak semua pengundi keluar mengundi pada PRU. Adakah itu bermakna keputusan PRU juga tidak sah?”
Kisah 4 tahun lalu
Isu mengenai pemilihan parti DAP ini tercetus lebih 4 tahun lalu, kurang 3 minggu sebelum pilihan raya umum ke-13, yang diadakan pada 5 Mei 2013.
Pada 17 April 2013, JPPM menghantar surat kepada Lim menyatakan jabatan tidak mengiktiraf penjawat CEC yang terpilih dalam pemilihan parti tahun sebelumnya.
Ketua pengarah JPPM ketika itu, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata ini kerana ada pertikaian mengenai pemilihan parti dan memberi amaran pendaftaran parti itu berdepan risiko pembatalan.
JPPM bagaimanapun mengeluarkan surat pada 19 April membenarkan DAP menggunakan simbol roket pada PRU13.
Pemilihan semula CEC dilakukan pada 29 September 2013 tetapi keputusan pemilihan juga tidak diiktiraf JPPM.
Kemudian pada 22 Januari 2014, Lim memohon semakan kehakiman bagi pihak parti, berhujah JPPM tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk menolak pengiktirafan CEC yang dipilih semula pada 29 September 2013.
DAP mengambil keputusan untuk mengugurkan permohonan itu pada 23 September 2014, selepas JPPM mengiktiraf CEC yang dipilih semula dan berkata kenyatan jabatan itu sekadar nasihat dan tidak sah di sisi undang-undang.