
Difahamkan percakapan mereka dirakam di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan antara 200 hingga 300 orang dipercayai dianjurkan oleh parti berkenaan.
Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti terhadap ketua pemuda dan naib presiden parti itu yang diperintah ditahan reman oleh mahkamah bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam untuk pembangunan luar bandar Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Antara yang dipanggil polis ialah Timbalan Presiden Warisan yang juga Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking, Timbalan Presiden Warisan yang juga Adun Likas Junz Wong, Bendahari Warisan yang juga Adun Moyog Terrence Siambun dan Setiausaha Tetap Warisan Loretto Padua Jr yang juga peguam mewakili individu direman itu.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M Chandra mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Ketua pemuda dan naib presiden parti berkenaan bergelar ‘Datuk’ antara 8 individu ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggar diseleweng daripada sebuah kementerian.
Dana RM1.5 bilion itu sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015.