
Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan ketiga-tiga lelaki yang merupakan pemimpin 2 parti, masing-masing dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dua daripada individu berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan deposit RM30,000 dan 2 orang penjamin.
Seorang lagi individu berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 tanpa deposit dengan 2 orang penjamin.
Sebelum ini, kesemua individu berkenaan ditahan reman selama 5 hari sejak Selasa lepas, kemudian tempoh reman mereka disambung 3 hari mulai Ahad lalu.
Kesemua mereka antara 8 individu yang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek luar bandar berjumlah RM180 juta iaitu sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng daripada sebuah kementerian.
Dana RM1.5 bilion itu sebahagian peruntukan kerajaan pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah bagi tempoh 2009 hingga 2015.