
Pesawat kargo Malaysia Airlines Berhad (MAB) jenis A330-300 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.45 petang tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat, Chittagong, Bangladesh.
Najib yang tiba pada 2.10 petang di MAB Kargo turut beramah mesra dengan kru yang akan terlibat dalam misi selain memerika barangan muatan pesawat kargo diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali serta Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik.
Misi yang diselaras oleh iM4U dengan kerjasama MAB dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk merealisasikan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia.
Muatan seberat 56.6 tan itu termasuk biskut, pad sanitari, sabun, tuala, berus gigi, lampin pakai buang, selimut dan beberapa barangan keperluan lain.
Pengagihan barangan keperluan akan diuruskan oleh iM4U mewakili Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan Bangladesh.
Sementara itu, Rudy yang juga mengetuai misi ke-3 ini berkata iM4U menghantar 2 misi sebelum ini iaitu pada 9 September dengan muatan 12 tan manakala penghantaran ke-2 dan membawa muatan 40 tan pada 7 Oktober.
“Misi kali ini adalah paling banyak barangan keperluan dan makanan yang disumbangkan.
“Kita menjangkakan akan menghantar lebih bantuan makanan dan keperluan barangan untuk diagihkan oleh kerajaan Bangladesh di 2 kem paling ramai pelarian iaitu kem Ketupalong dan Kem Balukhali,” katanya.
Rudy menyarankan orang ramai menyokong inisiatif berkenaan sama ada menderma terus kepada Tabung Bantuan Bencana iM4U melalui akaun Maybank 564324605701 atau menderma barangan keperluan dan menghantarnya ke pusat pengumpulan yang ditentukan.