
“Di bilik tahanan memang dipantau, (kejadian) itu berlaku di luar kawasan, ‘blind spot’ CCTV. Kita ada banyak CCTV tapi ini adalah faktor manusia,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari juga tidak menolak kemungkinan berlakunya pelanggaran tatacara operasi standard (SOP) berkaitan latihan fizikal dan penderaan yang menjadi punca kematian mereka.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Shamsul Annuar Nasarah (BN-Lenggong) yang bertanyakan mengenai bentuk penyelarasan terhadap SOP ketika menjalani latihan di bilik tahanan berkenaan.
Katanya, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan SOP sedia ada, malah kes berkenaan merupakan kejadian pertama seumpamanya sehingga mengakibatkan kematian.
“Memang setakat ini kita amat puas hati dengan SOP yang ada. Kalau kita lihat bilik tahanan yang ada di seluruh negara bukan saja TLDM, tapi TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), tentera, inilah kejadian pertama.
“Sebelum ini ada kejadian lain melibatkan kematian, tetapi bukan kerana penderaan tapi kerana masalah anggota itu sendiri,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, SOP sedia ada tetap akan ditambah baik, di samping beberapa langkah sampingan lain.
“Kita akan kukuhkan lagi dari segi pemantauan, maknanya pegawai bertanggungjawab mesti buat lawatan lebih kerap untuk melihat apa berlaku di sana (bilik tahanan) dan selain itu pematuhan SOP.
“Saya rasa ini berlaku kerana pelanggaran SOP,” katanya sambil menambah punca sebenar kes berkenaan masih dalam siasatan.
Dalam kejadian 29 September lalu, 2 anggota TLDM LK I PNK Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.
Laporan bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun mendedahkan punca kematian mereka dipercayai akibat didera.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.
Susulan itu, seorang anggota TLDM didakwa atas tuduhan membunuh manakala 2 lagi didakwa atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Baihaqy dan Lailatuiman.