Mufti Menk, Haslin Baharim dilarang masuk Singapura

Haslin-Baharim--3

PETALING JAYA: Dua penceramah agama terkenal, Ismail Musa Menk dan Haslin Baharim, tidak dibenarkan memasuki Singapura, lapor Channel News Asia.

Kedua-dua pendakwah itu dijadualkan menyampaikan ceramah di satu pelayaran kapal bertemakan agama yang akan berlepas dan berlabuh di Singapura dari 25 hingga 29 November ini.

Kementerian Dalam Negeri Singapura mengeluarkan larangan itu selepas merujuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Lembaga Pelancongan Singapura dan Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Kementerian berkata kedua-dua penceramah itu mempunyai pandangan yang boleh melahirkan sikap tidak bertoleransi dan amalan sisih (exclusivist) yang boleh merosakkan keharmonian sosial dan menyebabkan hubungan antara masyarakat menjadi renggang.

“Pandangan mereka tidak boleh diterima dalam konteks masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama,” kata kementerian.

Ini bukan kali pertama Menk dan Haslin dilarang berceramah di Singapura. Permohonan pas pekerjaan mereka pernah ditolak kerajaan republik itu sebelum ini.

“Mereka tidak dibenarkan melangkaui larangan itu dengan berceramah atas kapal layar yang beroperasi dari dan ke Singapura,” kata kementerian.

Menurut laporan itu, Menk, dari Zimbabwe, menyebarkan ajaran yang memecah-belahkan masyarakat, seperti mengatakan orang Islam berdosa kerana mengucapkan “Merry Christmas” atau “Happy Deepavali”.

Haslin, dari Perak, pula dilaporkan menggambarkan orang bukan Islam sebagai “menyimpang” dan mempromosikan ketidakharmonian antara orang bukan Islam dan bukan Islam.

Menk dan Haslin popular di Malaysia dan mempunyai ikutan yang ramai.

Muis bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan menyokong permohonan untuk penceramah yang mempunyai pandangan yang melanggar kod etika pengajar agama republik itu, termasuk pandangan yang “sangat bermasalah dan sangat tidak sesuai” dalam masyarakat majmuk.

Muis mendapati ajaran kedua-dua penceramah itu “bertentangan dengan nilai orang Islam Singapura”.

Kementerian pula menggesa rakyat Singapura menolak dan berwaspada dengan doktrin dan penceramah yang memecah-belahkan masyarakat, kerana ia akan “menjejaskan masyarakat kita dan cara hidup kita, dan akan melemahkan asas keamanan dan kemajuan Singapura”.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri K Shanmugam berkata rakyat republik itu berdepan penceramah seperti Menk dan seorang lagi penceramah terkenal, Zakir Naik, dari India, yang cuba mempromosikan pandangan yang menganjurkan sikap tidak terbuka dalam kalangan belia mereka.

Kementerian menyekat kemasukan mereka selepas menerima aduan tentang isu kandungan ucapan mereka.