Larangan eksport pasir jejas hasil negeri, kata Tengku Hassanal

Larangan eksport pasir jejas hasil negeri, kata Tengku Hassanal

Tengku Mahkota Pahang bertitah negeri itu sebelum ini dapat hasil puluhan juta ringgit menerusi eksport pasir.

Tengku Mahkota of Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bernama pic 8526
The Tengku Mahkota of Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah mendapan pasir di sungai negeri itu perlu dikeluarkan agar pengaliran air lancar sekali gus mengelak berlakunya banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kecewa dengan keputusan kerajaan persekutuan yang tidak meluluskan eksport pasir sungai yang menurut baginda menjejaskan hasil negeri.

Tengku Hassanal bertitah Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dan sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar pengaliran air sungai lancar, lapor Harian Metro.

Titah baginda, Pahang sebelum ini dapat menambahkan hasil berpuluh-puluh juta ringgit dengan eksport pasir ke negara lain tetapi kerajaan pusat tidak membenarkan ia lagi, sedangkan hasil tanah dan pasir adalah hak negeri.

“Kerajaan pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri ini dan lebih mengutamakan Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia,” titah baginda pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.

Tengku Hassanal juga mahu Putrajaya memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek, termasuklah mengutamakan syarikat atau kontraktor dari Pahang..

“Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak Pahang untuk melaksanakan projek-projek,” titah baginda lagi.

Bagind juga mahu kerajaan pusat meneliti semula perkara ini dan mengembalikan semula hak negeri itu.

“Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap kerajaan persekutuan,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga mahu Pahang meneruskan rekod kehadiran pelancong yang cemerlang dalam usaha merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Titah baginda, sasaran pelancong dari luar negara serta hasil negeri perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor luaran yang boleh memberikan kesan kepada industri pelancongan.

“Prasarana dan kemudahan destinasi pelancongan juga perlu ditambah baik bagi menarik pelancong antarabangsa. Jangan sekadar bergantung harap pada Genting Highlands dan Cameron Highlands sahaja.

“Tengok Cherating, apa yang perlu dibuat. Kalau dulu, Cherating antara tempat tumpuan dunia, kenapa sekarang macam dilupakan? Justeru, buat kerja, lipat gandakan usaha,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.