Menteri Kanan Singapura Hsien Loong akan lawat Pahang, Terengganu

Menteri Kanan Singapura Hsien Loong akan lawat Pahang, Terengganu

Lawatan lima hari ke Pahang dan Terengganu akan bermula esok hingga 8 Mei ini.

Lawatan Lee Hsien Loong itu atas jemputan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. (Gambar Wikimedia Commons)
SINGAPURA:
Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong akan mengadakan lawatan lima hari ke Pahang dan Terengganu mulai esok hingga 8 Mei ini, menurut Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO).

PMO memaklumkan lawatan itu atas jemputan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lee akan menghadap Sultan Pahang dan diraikan dalam majlis santapan tengah hari oleh baginda, selain bertemu Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail serta pemimpin negeri lain.

“Lawatan Lee ini memperkukuh momentum pertukaran dua hala yang kukuh, sekali gus memperdalam hubungan Singapura dengan negeri di Malaysia serta pemimpinnya yang telah lama terjalin dan bersifat pelbagai dimensi,” katanya dalam kenyataan.

Di Terengganu, katanya, Lee akan bertemu Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar serta pemimpin negeri itu.

Sepanjang lawatan itu, Lee akan diiringi isterinya Ho Ching, Menteri Undang-undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong, Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim serta pegawai dari Kementerian Ehwal Luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.