‘Sekolah Cina baharu rahmat buat MCA’

‘Sekolah Cina baharu rahmat buat MCA’

Katanya, keputusan membina sekolah Cina dibuat susulan permohonan MCA untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan kemudahan pembelajaran lebih baik.

ramasamy-chinese-school
PETALING JAYA:
Timbalan Setiusaha Agung DAP P Ramasamy hari ini menyindir MCA atas langkah kerajaan persekutuan untuk membina 10 sekolah jenis Cina, mendakwa langkah itu adalah untuk membantu menonggak parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, berita itu sangat menggembirakan pemimpin MCA kerana mereka berdepan masalah tidak menawarkan “sesuatu istimewa” kepada masyarakat Cina.

“Dengan pengumuman ini, sesetengah pemimpin mahu ‘mencipta semula’ MCA dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

“Mereka tidak sangka Umno akan hidupkan semula parti itu dengan pengumuman sebegitu sebelum PRU14. Ini seperti hadiah dari Tuhan kepada masyarakat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Oktober, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan 5 sekolah akan dibina di Johor dan 5 lagi di Selangor, semua di kawasan dengan jumlah penduduk Cina yang besar.

Katanya, keputusan untuk membina sekolah dibuat susulan permohonan oleh MCA untuk sekolah baharu, untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan kemudahan pembelajaran lebih baik untuk anak-anak Cina.

“Barisan Nasional, sebagai kerajaan prihatin sentiasa komited untuk memenuhi keperluan semua kaum,” katanya.

Beliau juga berkata 6 sekolah Cina lain akan ditempatkan semula di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor atas faktor pendaftaran rendah, jumlah penduduk Cina yang rendah di kawasan berkenaan dan keadaan usang.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berterima kasih dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno, ekoran pengumuman itu.

“Ini berita baik untuk masyarakat Cina kerana akan selesaikan isu seperti kepadatan pelajar di sekolah tertentu dan kekurangan alat bantuan mengajar di beberapa kawasan,” katanya.

Katanya, MCA memohon untuk membina sekolah Cina baharu seluruh negara tetapi ianya akan mengambil masa, sambil menambah yang parti itu berharap dapat melihat lebih banyak sekolah baharu di negeri lain.

Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang II, berkata beliau tidak terfikir kerajaan persekutuan akan mewujudkan dana untuk sekolah dan masyarakat Cina terpaksa mengumpul duit sendiri.

“Adilkah ini untuk masyarakat Cina yang sudah banyak menyumbang kepada pembangunan negara?” katanya.

“Saya terperanjat pemimpin MCA berdiam berkenaan hal dana ini,” katanya, sambil mendakwa yang MCA mungkin takut untuk bertanya kerana kerajaan mungkin akan batalkan keputusan itu.

Katanya, kerajaan persekutuan patut bertanggungjawab dalam pembiayaannya.

“Masyarakat Cina sudah banyak berhabis untuk pendidikan sejak bertahun, jadi mereka bukan meminta banyak untuk kerajaan campur tangan untuk bantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.