Bekas ketua menteri Sabah nasihat Putrajaya fokus pertanian semula

Bekas ketua menteri Sabah nasihat Putrajaya fokus pertanian semula

Harris Salleh berkata, Malaysia mengimport makanan berjumlah RM40 bilion, sebahagian besarnya dari Australia bagi memenuhi permintaan domestik.

harris-salleh_pertanian_600
KOTA KINABALU:
Ekonomi Malaysia merudum kerana kerajaan pusat terus melaksanakan dasar yang tidak bersesuaian dengan kemampuan dan potensi negara, kata bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh.

Ahli politik veteran itu berkata, Malaysia tidak perlu terlalu bergantung kepada makanan import, jika kerjaaan memperkenalkan pertanian berskala besar.

Ketika ini, Malaysia mengimport makanan berjumlah RM40 bilion, sebahagian besarnya dari Australia bagi memenuhi permintaan domestik.

“Jika kita bercakap mengenai pembangunan ekonomi untuk mengurangkan import makanan, mereka (kerajaan) sudah gagal,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, satu-satunya kejayaan pertanian ialah kelapa sawit dan terbaru ialah durian yang ditanam secara komersial bagi merebut peluang daripada permintaan tinggi di China.

Pemberian subsidi yang banyak kepada petani, katanya, gagal menarik lebih ramai orang menjadi penanam padi kerana tiada dasar untuk mendidik rakyat merealisasikan potensi pertanian sebagai pekerjaan.

“Tidak banyak peningkatan dalam bidang ekonomi lain. Minyak dan gas tidak boleh diharapkan lagi dengan harga merosot sekurang-kurangnya separuh.

“Mereka kata kita ada perabot untuk dieksport, tetapi tidak banyak yang berlaku.

“Masalah dengan pemimpin kita di KL ialah mereka suka perkara besar. Mereka suka mengatakan kita nombor 1 di sini dan di sana, tetapi semuanya gagal.

“Lihatlah Kedai (Rakyat) 1Malaysia. Saya boleh tunjukkan satu kepada anda di Beaufort. Mereka bina sebuah kedai dengan membelanjakan RM3 juta. Sehingga kini, selepas hampir 3 tahun, ia tidak pernah digunakan.”

Beliau turut menegur kecenderungan kerajaan bersaing dengan Singapura, seperti membina kompleks petroleum bersepadu di Pengerang, sedangkan Malaysia sepatutnya memastikan kelangsungan hidup Singapura dan hubungan mesra dengan republik itu.

Harris mencadangkan kerajaan mula memandang kepada tanaman lain yang boleh membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan import serta rakyat meningkatkan pendapatan mereka.

Merujuk penanaman durian sebagai pilihan, katanya, ia memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun untuk membuahkan hasil untuk dieksport.

“Sementara itu, kita mengimport cili dari Australia. Boleh anda bayangkan? Tiada rasa, aroma atau pedas dan ia dijual RM25 sebotol. Kita boleh menanam cili di sini pada masa sama.”

Apa yang kerajaan perlu lakukan, katanya, ialah menyediakan sebuah pusat memproses hasil untuk pengedaran dan eksport.

Beliau turut menggesa kerajaan menetapkan harga cili bagi menggalakkan orang kampung menanamnya.

Harris berkata, ada banyak perkara lain yang Malaysia boleh fokus dalam bidang pertanian, berbanding tumpuan ke atas Singapura.

“Bolehkah kita menjadi seperti Singapura? Singapura bukan negara pertanian. Ia adalah negara perdagangan.

“Malaysia bukannya negara perdagangan; ia sebuah negara pertanian. Jadi, anda perl terima hakikat ini.

“Anda cuba bersaing dengan Singapura…anda tidak boleh jadi seperti Singapura kerana kerajaannya tidak sama dengan kerajaan Malaysia.”

Disebabkan pertanian ialah masa depan Malaysia, Harris berkata, kerajaan perlu mengubah dasar ekonomi dan mengkaji kenapa negara mengimport lebih RM40 bilion makanan setahun.

Beliau menekankan Sabah bersedia untuk pengeluaran daging dan tenusu serta dasar betul akan menyaksikan negeri itu menjadi pembekal utama bagi produk berkenaan.

Tambahan, katanya, kerajaan perlu melantik orang yang sesuai, bukannya berdasarkan hubungan mereka kepada ahli politik tertentu.

Beliau berkata, idea itu tidak akan berjaya jika rakyat tidak mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi.

Katanya, masalah itu ada kaitan dengan pengaturan penetapan harga semasa oleh pasaran yang tidak melindungi pengeluar tempatan, menyebabkan orang kampung tidak berminat.

“Mereka menanam sesuatu tetapi tiada pasaran. Apabila wujud sedikit lebihan di pasaran, harga akan jatuh. Jika mereka menghasilkan terlalu banyak padi, harganya rendah.”

Katanya, satu-satunya cara untuk mengelakkan masalah sedemikian ialah kerajaan pusat perlu memberi jaminan harga melalui pusat pemprosesan.

Beliau menegaskan dengan kemudahan sedia ada di seluruh negara, tidak susah untuk kerajaan menggunakan sebahagian bangunan di kawasan luar bandar sebagai pusat pemprosesan dan pengedaran.

“Kemudian kita boleh bercakap mengenai eksport dan menjadi nombor 1.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.